HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Fenomena akhir tahun: Banjir bencana dan kebanjiran nilai kemasyarakatan

-

Adakah kita waras dengan menyalahkan individu atau perbuatan tertentu lebih-lebih lagi ketika keluarga mangsa banjir masih dalam keadaan yang menyedihkan?

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today

Banjir adalah bencana alam kerap dialami di seluruh dunia. Secara umumnya, banjir ialah keadaan air yang menenggelami atau mengenangi sesuatu kawasan. Banjir boleh berlaku di kawasan rata atau rendah apabila kadar air yang dibekalkan oleh hujan lebih tinggi daripada kebiasaan dan lebihan air tersebut berupaya mencecah kedalaman yang berbahaya.

Banjir juga disebabkan oleh limpahan air dari takungan air semula jadi seperti sungai, tasik atau lautan di mana air melimpah atau memecahkan benteng yang seterusnya mengakibatkan sejumlah air tersebut melepasi dari sempadan biasa.

Penyusupan air lambat di kawasan berturap, berbatu atau konkrit menyebabkan air terus mengalir secara mendatar dan meliputi kawasan lain.

Malah, banjir dikaitkan sebagai satu geobencana pasif iaitu bencana yang berkaitan dengan aktiviti manusia. Sikap acuh tidak acuh manusia yang tidak menjaga kesejahteraan alam sekitar dengan aktiviti penebangan pokok secara berleluasa atau haram tanpa menilai kepentingan ekosistem yang seimbang.

Manusia juga tidak segan silu membuang sampah sarap di longkang, parit atau sungai yang akhirnya menjejaskan pengaliran air secara lancar. Akhirnya, bukan sahaja alam sekitar dan kehidupan binatang terjejas tetapi manusia juga harus dan akan terus menerima kesan daripada kealpaan dan ketamakan ini. Kerosakan harta benda boleh diganti tetapi bagaimana pula dengan nyawa?

Dalam situasi banjir terkini, wujud tiga kelompok manusia yang diperhatikan. Pertamanya, narsisis (narcissists) yang suka menyalahkan semua orang dan segala-galanya di sekeliling mereka. Mereka bertindak sedemikian kerana mereka percaya bahawa mereka yang tahu cara untuk melakukan sesuatu dengan cara yang betul. Justeru, mereka mengecam, mengutuk dan mengkritik tanpa memikirkan implikasi yang boleh wujud daripada komentar yang tidak matang. Menariknya, walaupun idea mereka tidak semestinya benar namun terdapat kumpulan manusia yang menyokong pandangan tersebut.

Dengan itu, tersebarlah video pendek khasnya TikTok yang terus ‘menjual dan membeli’ idea tersebut sehingga kita alpa bahawa masing-masing mempunyai tanggungjawab sebagai rakyat untuk membantu dengan tidak menyebarkan perkara yang boleh menjejaskan proses pemulihan bencana ini. Lima kata kerja yang paling terserlah dilihat sebagai sebab kenapa berlakunya banjir kilat kali ini adalah: bermaksiat, berjudi, minum arak, mengambil/memberi rasuah dan menipu.

Adakah pandangan ini logik sedangkan yang menghanyutkan kita adalah air yang tidak mempunyai tempat takungan kuat, justeru melimpah-limpah? Adakah hanya kerana perbuatan keji segelintir individu maka natijahnya harus ditanggung oleh masyarakat – itu pun di kawasan yang tertentu? Adakah kita waras dengan menyalahkan individu atau perbuatan tertentu lebih-lebih lagi ketika keluarga mangsa banjir masih dalam keadaan yang menyedihkan? Maka, kelompok manusia pertama ini boleh dianggap sebagai individu yang mempunyai personaliti konflik tinggi (high-conflict personalities) kerana mereka sibuk menyalahkan orang lain.

Kelompok kedua yang dilihat adalah bersikap optimistik. Individu berfikiran optimis umumnya mempunyai keyakinan atas kemampuan diri sendiri. Mereka juga bersikap positif dan mengharap yang terbaik walaupun dalam keadaan yang sukar. Mangsa banjir negara ini tergolong dalam kategori optimistik di mana mereka masih tabah dan reda akan apa yang telah berlaku. Mereka juga memikirkan bahawa perkara terbaik akan berlaku.

Seperti dilaporkan dalam berita dan perkongsian video, semua mangsa banjir kilat yang tidak diduga berjuang untuk menyelamatkan diri dan ahli keluarga walaupun ternyata sukar untuk dilakukan. Dalam masa singkat, mereka harus berfikir dengan cepat bagaimana untuk memastikan setiap ahli keluarga dan jiran berada dalam keadaan selamat.

Ada yang bernasib baik berlindung di tingkat atas rumah, ramai juga yang bermalam di atas bumbung bersama warga emas dan anak kecil, ada yang terperangkap dalam kereta tetapi berjaya dikeluarkan, ada yang duduk di atas bumbung kereta, ada juga yang kental berenang menyelamatkan binatang peliharaan, ada pula yang redah air untuk memasak dan mendapatkan bekalan makan agar jiran tetangga tidak kelaparan.

Pada masa sama, sikap positif dan optimistik juga terpapar dalam keperibadian warga sukarelawan. Mereka yakin bahawa mereka boleh membantu mangsa banjir mengikut kapasiti atau kemahiran masing-masing. Justeru, mereka tidak perlu menunggu arahan mana-mana pihak tetapi bergegas pantas dengan merancang dan bertindak kerana lumrah air tidak akan tenang selamanya.

Dalam konteks ini, kita terharu membaca keikhlasan rakyat yang datang dari kawasan dan negeri lain bersama bot persendirian dan kereta 4×4 atau trak ‘hailak’ semata-mata mahu menyelamatkan nyawa yang terperangkap secepat mungkin. Tanpa memikirkan penat lelah memandu berjam lamanya mereka lantas ‘turun padang’ dengan sesi mencari dan memindahkan mangsa banjir. Turut berbakti adalah warganegara asing yang membantu jiran mereka yang panik dengan situasi banjir ini.

Sejajar dengan itu, sikap proaktif belia Malaysia harus dihargai dan disanjungi. Tanpa berfikir panjang, mereka bekerjasama untuk menyediakan makanan dan bahan keperluan asas yang lain agar kebajikan mangsa banjir terjamin. Sokongan rakyat juga tidak boleh dinafikan yang bertindak pantas mengongsikan maklumat kepada kenalan dan warganet agar bantuan boleh dihulurkan secepat mungkin. Akan tetapi, bantuan ini tidak berjaya tanpa berkat derma wang ringgit dan kebendaan yang diberikan oleh warga Malaysia. Pendek kata, bersikap optimis dalam kalangan rakyat telah membuktikan bahawa setiap perkara yang sukar itu boleh diharungi dengan sebaiknya.

Walaupun ramai daripada kita masih berdukacita ekoran kesan pandemik yang berterusan hampir dua tahun lamanya, namun sikap tidak mementingkan diri sendiri yang dipamerkan oleh masyarakat Malaysia bukan sahaja menyenangkan tetapi memberi harapan bahawa ternyata bumi tercinta ini indah kerana keindahan keperibadian mereka. Kebolehan bekerjasama dan bertindak mengikut kemampuan mencerminkan masyarakat yang matang dan inklusif sifatnya. Sikap optimistik terhadap situasi, interaksi dan diri sendiri dalam kelompok kedua ini adalah sesuatu yang harus diamalkan oleh setiap individu.

Seterusnya, kelompok ketiga yang diperhatikan adalah kelompok yang leka dan tidak sensitif sifatnya. Mereka gagal ‘menghayati’ makna banjir kilat dan walaupun mempunyai kuasa dan tugas yang diamanahkan, namun mereka bertindak sangat lambat sebagaimana yang diluahkan oleh masyarakat. Mangsa bencana banjir terkilan dengan keperibadian individu yang sebenarnya patut melakukan yang terbaik untuk mereka. Dalam suasana sedih kehilangan harta benda, sikap tidak sensitif dan buat-buat bodoh bukan sahaja meluatkan tetapi menghina mangsa banjir khasnya dan masyarakat Malaysia umumnya.

Adakah kualiti sedemikian yang diharapkan untuk menjaga kebajikan rakyat? Adakah memadai hanya dengan menghulurkan tangan beberapa individu menaiki bot? Adakah mencukupi dengan membersihkan lumpur di lantai rumah mangsa banjir? Adakah dengan memeluk dan berjabat tangan boleh mengurangkan derita mangsa banjir? Terdapat banyak persoalan yang boleh diajukan tetapi seorang wakil rakyat yang jujur dengan kuasa dan kerja yang diamanahkan boleh melakukan yang lebih terbaik.

Ini tergambar dalam keperibadian beberapa orang wakil rakyat yang tidak keterlaluan jika diumpamakan seperti air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam kerana mereka memikirkan mengenai kesan banjir ke atas mangsa yang terjejas kehidupannya. Justeru, mereka adalah di antara wakil rakyat yang mempunyai kuasa tetapi menonjolkan keperibadian yang berbeza bak kata pepatah cepat kaki, ringan tangan dan habis kapak berganti beliung.

Sikap rajin bekerja dan menyelesaikan masalah penduduk di kawasan mereka dengan pantas wajar dipuji. Keprihatinan, bantuan dan sikap mereka juga boleh diramalkan sebagai ringan tulang berat perut di mana ramai rakyat mahukan pemimpin sedemikian menjadi wakil rakyat yang boleh memahami keperitan hidup mereka.

Bagi kelompok ketiga yang bertindak bagai itik pulang petang jangan pula mengharapkan jatuh di atas tilam kerana lembah diraih, pantai dititi adalah satu kualiti keperibadian yang harus ditonjolkan secara konsisten dan didasari oleh perasaan empati. Jangan pula nasi sudah menjadi bubur kepada individu yang masih menggunakan sentimen palsu dan menegakkan benang basah kerana rakyat melihat keperibadian tersebut.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.