
Selain inisiatif yang dibentang Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada Jumaat lalu, Nancy berkata kerajaan juga memperuntukkan RM200 juta untuk pakej rangsangan dalam Pelan Pemulihan Pelancongan untuk 2021.
“Pakej ini menyediakan bantuan dalam bentuk rebat, potongan, atau subsidi pakej pelancongan melalui platform dalam talian serta kolaborasi dengan persatuan pelancongan tempatan, taman tema, persatuan penginapan, tukang kraf, dan pusat beli-belah untuk menawarkan pakej pelancongan yang menarik kepada masyarakat.
“Ini dijangka akan mengalakkan perbelanjaan domestik lalu mengalakkan ekonomi tempatan,” katanya pada sesi libat urus bersama pemegang taruh industri pelancongan hari ini.
Nancy berkata kementerian akan menyediakan program untuk memastikan kebolehpasaran pekerja dengan peruntukan belanjawan untuk skim kemahiran baharu dan tingkat kemahiran.
Katanya, ini akan disasarkan pada graduan dan pemain industri lain bawah sektor seni dan budaya.
Beliau juga berkata kementerian akan memanfaatkan sebahagian besar peruntukannya dalam belanjawan itu untuk mengalakkan sektor pelancongan tempatan dan mengekalkan daya saingnya apabila sempadan antarabangsa dibuka.
Beliau menyeru pekerja, termasuk kakitangan penerbitan, memanfaatkan inisiatif bawah Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana), yang diberi RM15 juta untuk membantu program seni dan budaya.
Nancy berharap akan mendapat sokongan pemegang taruh dalam melaksanakan rancangan belanjawan tahun depan.
“Menghadapi situasi sekarang, saya menggesa semua pemain industri dan persatuan untuk bersatu dan bekerjasama dengan saling membantu meningkatkan kelestarian industri pelancongan dan budaya, yang merupakan penyumbang utama ekonomi,” katanya.