
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, sokongan dalam meluluskan Belanjawan 2021 adalah untuk menjamin kesejahteraaan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan Covid-19.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang mendokong titah nasihat Baginda pada 28 Okt 2020 lalu supaya memberi sokongan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta kemaslahatan negara.
“Selaku ketua negara, Al-Sultan Abdullah amat menghormati setiap parti politik yang berdaftar di negara ini.
Seri Paduka juga menghargai peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat dalam membela kebajikan rakyat.
“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka amat menghargai komitmen dan semangat muafakat serta gandingan bahu setiap pihak kerana ia amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama,”katanya menerusi kenyataan.
Katanya, Agong juga menyuarakan keyakinan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam menerajui pentadbiran pada saat negara diuji dengan pelbagai krisis.
“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan kerajaan untuk menerajui pentadbiran negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini,” katanya.
Agong sebelum ini menasihati Ahli Parlimen supaya menyokong Belanjawan 2021 dengan mengutamakan kebajikan rakyat dan usaha pemulihan ekonomi negara susulan penularan wabak Covid-19.
Sementara itu, Perdana Menteri Muhyiddin berkata, sokongan yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen hari ini membuktikan kematangan mereka dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara lain.
“Belanjawan 2021 merupakan belanjawan terbesar dan sangat penting kepada negara dan sokongan ini membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Muhyiddin, ia juga membuktikan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat, memulih serta menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat wabak Covid-19.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan yang bertungkus lumus menyiapkan perbahasan penggulungan Belanjawan 2021, dengan beberapa penambahbaikkan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Penambahbaikan ini mengambil kira pandangan daripada pelbagai, pihak termasuk Ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 ini dijalankan,” katanya.