HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Lebih 10,000ha tanah terbiar di Johor gagal diguna untuk pertanian

-

Exco Johor berkata, tanah terbiar itu menghadapi pelbagai masalah seperti tanah bermilik dan kebanyakan tuan tanah sukar dikesan untuk dihubungi secara terus oleh Jabatan Pertanian.

47
Shares
Total Views: 6,428
Free Malaysia Today
Sebanyak RM725,000 diperuntukkan kepada 21 pemohon di bawah program pembangunan pertanian untuk memanfaatkan 59.48ha tanah terbiar. (Gambar Bernama)

ISKANDAR PUTERI:
Jabatan Pertanian Johor tidak dapat menggunakan lebih 10,000ha tanah terbiar di negeri itu untuk tujuan pertanian disebabkan pelbagai masalah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandarnya, Samsolbari Jamali.

Beliau berkata, rekod Jabatan Pertanian Johor menunjukkan terdapat 10,097.79ha tanah terbiar di negeri itu tahun lalu, membabitkan 4,561 lot tanah bertaburan di seluruh negeri itu yang berkeluasan kira-kira 1 hingga 3 ekar setiap lot.

“Tanah terbiar ini mempunyai pelbagai masalah seperti tanah bermilik dan kebanyakan tuan tanah sukar dikesan untuk dihubungi secara terus oleh Jabatan Pertanian.

“Selain itu, tanah terhad kepada sesuatu jenis tanaman saja disebabkan faktor siri tanah dan kedudukan tanah yang rendah sering menghadapi masalah banjir,” katanya menjawab soalan Sulaiman Mohd Nor (PH-Kemelah), Yeo Tung Siong (PH-Pekan Nanas) dan S Gopalakrishnan (PH-Tiram) di Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.

Free Malaysia Today
Samsolbari Jamali.

Samsolbari berkata, dalam usaha memanfaatkan tanah terbiar itu untuk tujuan pertanian, Jabatan Pertanian menggalakkan usahawan tani dan pemilik tanah terbabit aktiviti pertanian menerusi projek pembangunan pertanian (tanah terbiar).

“Tahun ini juga bagi program pembangunan tanah terbiar, RM725,000 sudah disalurkan melalui peruntukan persekutuan dan negeri bagi pembangunan tanah terbiar melibatkan 59.48ha tanah terbiar serta memberi manfaat kepada 21 pemohon.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.