
Beliau berkata, menjadi wawasan bekas ketua menteri Adenan Satem untuk menggantikan perkhidmatan feri dengan membina jambatan, termasuk feri Triso yang menghubungkan Meludam dan Sebuyau.
Katanya, kerajaan negeri dan persekutuan bersetuju membina jambatan menyeberangi Sungai Batang Lupar bagi menggantikan perkhidmatan feri, dan perdana menteri ketika itu, Najib Razak turut bersetuju membiayai 50% kos pembinaan.
Namun, katanya, ini dibatalkan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pucuk pimpinan.
“Kami memutuskan untuk membiayai pembinaan jambatan menggunakan dana negeri. Majlis pecah tanah bagi jambatan Batang Lupar akan diadakan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita.
“Jambatan dijangka siap dalam tempoh empat hingga lima tahun kerana panjangnya kira-kira 7km.
“Selain itu, beliau (Adenan) juga mahukan semua jambatan ini bebas tol untuk mengurangkan beban rakyat. Jadi saya akan meneruskan polisi itu,” katanya.
Pada 1 Jan lalu, sembilan sekeluarga termasuk bayi berusia empat bulan, terbunuh apabila kenderaan mereka tergelongsor ke dalam Sungai Batang Lupar dari feri dinaiki di Jeti Triso.
Abang Johari berkata, jambatan lain kini dalam pelbagai peringkat perancangan dan pembinaan, termasuk di Batang Paloh, Batang Lassa, Batang Igan, Batang Saribas, Krian, Kemena, serta Batang Rambungan.
“Saya jangka semua jambatan ini akan siap menjelang 2025, selepas itu kita tidak lagi perlu bergantung kepada perkhidmatan feri,” katanya.