Kerajaan PN gagal berfungsi, menteri tak buat kerja, kata Dr M

Kerajaan PN gagal berfungsi, menteri tak buat kerja, kata Dr M

Bekas perdana menteri berkata para menteri tidak turun padang dan alasan sekatan pergerakan akibat Covid-19 tidak harus dijadikan alasan untuk menutup kegagalan itu.

PETALING JAYA:
Jemaah menteri pimpinan Muhyiddin Yassin dilihat “tidak bekerja”, gagal turun padang dan tidak peka terhadap keperluan rakyat, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata Jemaah Menteri Perikatan Nasional (PN) juga mempunyai kefahaman cetek mengenai apa yang diperlukan untuk negara dan penduduknya, walaupun sudah memegang kuasa hampir setahun.

Dalam wawancara khas dengan FMT, Mahathir menyifatkan pentadbiran PN sebagai “tidak berfungsi” dan prestasi menteri lantikan Muhyiddin sebagai lemah.

“Pemimpin yang ada sekarang adalah jauh daripada mengkagumkan,” kata Mahathir.

“Menteri-menteri nampak seolah tidak menjalankan apa-apa kerja. Kita tak nampak menteri berbuat apa-apa pun. Contohnya, menteri enggan jumpa pelabur, enggan jumpa sesiapa pun.”

Beliau berkata kegagalan jemaah menteri turun padang menyebabkan mereka tidak peka terhadap keperluan dan perasaan rakyat.

Mahathir berkata kegagalan memperolehi maklum balas rakyat menyebabkan pemimpin PN tidak tahu menahu apa yang perlu dilakukan untuk membawa perubahan yang dikehendaki.

“Malah sangat sukar untuk bertemu perdana menteri. Ketika saya perdana menteri, saya bertemu sekurang-kurangnya tiga atau empat delegasi sehari. Saya berbincang dengan mereka dan saya tahu apa yang mereka fikirkan.

“Saya juga mendengar apa yang dibincangkan secara terbuka supaya saya boleh buat sebarang penyesuaian.

“Mereka (menteri) mungkin mempunyai beberapa penasihat tetapi nampaknya mereka tidak beri nasihat yang betul,” katanya.

Beliau berkata walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) membawa kekangan tertentu untuk pemimpin, “tahap perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan hari ini bawah tara.”

Beliau berkata prestasi lemah kerajaan hanya menambah kesulitan untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19.

“Sebagai contoh, menteri enggan berjumpa dengan pelabur. Bila anda enggan berjumpa mereka, maka orang akan menganggap (kerajaan) anda sebagai tidak mesra (perniagaan).

“Waktu saya (pimpin negara), saya memperkenalkan kerajaan mesra perniagaan. Itulah sebabnya walaupun wujud jurang ekonomi perkauman, negara mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi 7% setahun,” kata Mahathir.

Mahathir mendakwa “kerajaan hari ini sebenarnya tidak berfungsi” dan faktor itu, bersama fenomena rasuah dan tadbir urus lemah, antara punca utama Malaysia amat sukar menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Menurut laporan terbaharu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia jatuh 68% ke USD2.5 bilion pada 2020

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding purata kejatuhan 31% FDI di Asia Tenggara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.