4 sekeluarga maut, Perodua Myvi bertembung treler di Bentong

4 sekeluarga maut, Perodua Myvi bertembung treler di Bentong

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta gagal memotong kenderaan di hadapan sebelum bertembung dengan treler dari arah bertentangan.

Menurut polis, pemandu dan penumpang hadapan tersepit dan kereta mangsa remuk menyebabkan bantuan bomba diperlukan bagi mengeluarkan mangsa. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Empat sekeluarga, termasuk dua kanak-kanak maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler membawa muatan kereta di Kilometer 4, Jalan Bentong-Raub, di Bentong, Pahang, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Kamarulzaman Jusoh berkata dalam kejadian pada 4.10 pagi itu, mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kereta Marlianna Abdul Muid, 37, dan adiknya Marlia, 36, akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah di kepala.

Sementara dua mangsa kanak-kanak dikenali sebagai Muhammad Aisy Harraz Aziz, tujuh tahun dan anak Marlia, Muhammad Faizz Aryan Mohd Faizuddin, sembilan tahun berada di bahagian penumpang belakang kereta itu, disahkan meninggal dunia di Hospital Bentong, kira-kira 6.30 pagi tadi, katanya.

Semua mangsa beralamat di Banting, Selangor.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Marlianna dari arah Kota Bharu, Kelantan ke Selangor cuba memotong kenderaan di hadapannya, namun tidak berjaya sebelum bertembung dengan treler dari arah bertentangan.

“Pertembungan itu mengakibatkan pemandu dan penumpang hadapan tersepit dan kereta mangsa remuk pada bahagian hadapan menyebabkan bantuan bomba diperlukan bagi mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Kamarulzaman berkata pemandu treler yang berusia 42 tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun bahagian hadapan trelernya itu turut rosak.

Semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.