HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Posmen bantu kempen vaksin Covid-19

-

Kerjasama itu bertujuan memberikan maklumat mengenai vaksin dan meningkatkan kadar pendaftaran menjelang fasa kedua serta ketiga vaksinasi pada April dan Mei ini.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Posmen yang menghantar surat dan bungkusan dari rumah ke rumah akan turut mengedarkan risalah vaksin Covid-19. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Pos Malaysia akan melancarkan kempen kesedaran vaksinasi Covid-19 di seluruh negara dalam usaha meningkatkan kadar pendaftaran vaksin yang rendah.

Posmen yang menghantar surat dan bungkusan dari rumah ke rumah, turut akan mengedarkan risalah mengenai keperluan divaksin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan kerjasama itu bertujuan memberikan maklumat mengenai vaksin dan meningkatkan kadar pendaftaran menjelang fasa kedua serta ketiga vaksinasi pada April dan Mei ini.

“Satu perkara dimiliki Pos Malaysia, yang syarikat lain tidak ada, ialah sentiasa ada. Pejabat Pos Malaysia ada di mana saja di Malaysia,” katanya sambil menambah perkhidmatan pos negara itu akan memfokuskan kawasan luar bandar dan negeri dengan kadar pendaftaran vaksin yang rendah.

Beliau berkata, menggunakan Pos Malaysia bermakna tiada kos tambahan buat kerajaan.

Khairy, yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi, berkata kerajaan juga akan bekerjasama dengan syarikat seperti Grab dan Parkson untuk meningkatkan kesedaran program imunisasi.

Grab akan menawarkan pautan terus kepada aplikasi MySejahtera dalam aplikasinya sendiri, serta perbincangan sedang dijalankan untuk memetakan pusat vaksinasi dalam aplikasi Grab.

Parkson pula akan membuka kaunter pendaftaran vaksinasi di 40 cawangannya dan pondok maklumat di 20 cawangannya di seluruh negara.

Khairy turut mengumumkan kerjasama dengan syarikat pemasaran sukan, Living Minds untuk mempromosikan vaksinasi melalui media sosial oleh 12 pemain bola sepak tempatan yang akan menjadi “duta vaksin”.

St John Ambulance Malaysia pula akan menyediakan kakitangan perubatan dan ambulans di pusat vaksinasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.