Biar sektor tertentu beroperasi di kawasan PKPD, kata Christina Liew

Biar sektor tertentu beroperasi di kawasan PKPD, kata Christina Liew

Ahli Parlimen Tawau itu berkata ini akan mengurangkan beban dan tekanan ekonomi terhadap penduduk Tawau yang tiada pendapatan tetap.

Ahli Parlimen Tawau Christina Liew turut menggesa bantuan disegerakan untuk penduduk di kawasan PKPD.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Tawau Christina Liew menggesa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membenarkan sektor tertentu ekonomi beroperasi di kawasan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Tawau.

Liew yang juga Ketua PKR Sabah berkata ini akan mengurangkan beban dan tekanan ekonomi terhadap penduduk Tawau yang tiada pendapatan tetap.

“Aktiviti jualan wajar dilonggarkan tertakluk kepada SOP kerana ini mampu meningkatkan pendapatan dan membantu peniaga kecil.

“Seterusnya penduduk Tawau juga akan dapat berbuka puasa seperti di daerah lain di Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau menggesa bantuan disegerakan untuk penduduk di kawasan PKPD, khususnya di Taman Sri Indah dan Kampung Titingan yang pendapatan terjejas akibat PKPD.

“Saya sedih apabila mengenangkan ada keluarga yang tiada makanan untuk berbuka puasa.

“Pusat Khidmat Parlimen Tawau berusaha keras menyediakan bantuan kecemasan kepada keluarga yang memerlukan, dan ini akan diagihkan ke kawasan tersasar serta secara berperingkat dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.