Tubuh RCI siasat dakwaan campur tangan, gantung tugas Hamzah ketika siasatan, kata Pejuang

Tubuh RCI siasat dakwaan campur tangan, gantung tugas Hamzah ketika siasatan, kata Pejuang

Peguam Pejuang, Mior Nor Haidir Suhaimi, berkata sepanjang siasatan RCI, Hamzah Zainudin perlu digantung daripada tugas bagi mengelakkan campur tangan.

Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, siasatan terperinci perlu dijalankan ke atas dakwaan campur tangan Hamzah Zainudin dalam urusan polis.
PETALING JAYA:
Pejuang menggesa siasatan terperinci ke atas dakwaan mengejutkan ketua polis negara berhubung campur tangan menteri dalam negeri dalam urusan polis berkaitan pelantikan pegawai atasan.

Peguam parti itu, Mior Nor Haidir Suhaimi, berkata kerajaan perlu mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menangani isu yang dibangkitkan Abdul Hamid Bador yang bakal bersara minggu depan.

“Dan sepanjang siasatan, Hamzah Zainudin perlu digantung daripada tugas bagi mengelakkan sebarang campur tangan,” kata beliau dalam kenyataan.

Semalam, Hamid dilaporkan mendakwa Hamzah di sebalik pengeluaran “surat keramat” menyekat dua pegawai kanan polis ditukarkan.

Ini susulan pengakuan Hamzah yang suara dalam rakaman perbualan mengenai rombakan pasukan polis tular di media sosial adalah dirinya.

Mior menyifatkan campur tangan politik dalam pertukaran pegawai atasan polis sebagai penyalahgunaan kuasa.

Terdahulu, Persatuan Patriot Kebangsaan menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memecat Hamzah kerana “menghina, bersikap biadab dan mengabaikan fungsi undang-undang pasukan polis”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.