
Timbalan Pengerusi PKR Johor itu bagaimanapun tidak menafikan beliau ke sebuah rumah di Taman Desa Jaya, Ulu Tiram pada Khamis lalu.
“Namun, tujuan utama saya ke rumah itu untuk hantar barang sumbangan kepada wakil Wanita PKR untuk diedarkan kepada golongan ibu tunggal dan asnaf, bukannya untuk beraya seperti didakwa,” katanya dalam kenyataan.
Puah berkata, beliau sedia memberi kerjasama penuh kepada polis dan membayar kompaun, jika hasil siasatan mendapati beliau melanggar SOP PKP.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Sohaimi Ishak berkata, polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook Sarah Eina yang memuat naik gambar wakil rakyat PKR itu menziarahi rumahnya di Taman Desa Jaya, Ulu Tiram pada Khamis lalu.
Katanya, siasatan dijalankan susulan laporan dibuat seorang lelaki selepas melihat gambar yang dimuat naik pemilik akaun Facebook berkenaan.
“Gambar tersebut jelas terlihat salah seorang Yang Berhormat daripada sebuah parti politik sedang makan dan beraya bersama di rumah pemilik akaun Facebook berkenaan.”
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan, denda atau kedua-duanya dan Peraturan 17, P.U (A) 225/2021 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram