
Beliau berkata siasatan ke atas tawaran itu tidak temui sebarang keterangan yang membuktikan kewujudan syarikat berkenaan, mahupun penulis surat tawaran itu, yang memperkenalkan dirinya sebagai pengarah urusan syarikat berkenaan.
Pemeriksaan rekod syarikat di Hong Kong mendapati syarikat berkenaan tidak wujud, malah tiada sesiapa pun mengenali penulis surat itu, yang dikatakan menetap di Kota Kinabalu.
“Senang kata, apa (surat) yang ditunjuk oleh Ketua Menteri Pulau Pinang semalam kononnya ada tawaran 2 juta dos adalah satu perkara palsu, ini adalah ‘scam’, ini adalah ‘bogus’,” katanya pada sidang media.
Khairy berkata pemeriksaan dengan pihak Sinovac juga mendapati tiada apa-apa dokumen mahupun permohonan yang diterima mereka daripada mana-mana wakil ‘syarikat’ itu berhubung tawaran berkenaan.
“Jadi macam mana kerajaan negeri boleh menggunakan ‘scam’ ini untuk menuduh kerajaan persekutuan menghalang derma 2 juta dos vaksin untuk Pulau Pinang?” katanya.
Khairy merayu ahli politik jangan mempolitikkan program vaksinasi kebangsaan dengan “sampah” seperti tawaran tidak sahih itu, mengatakan surat itu menyebabkan Putrajaya jadi mangsa tuduhan.
“Vaksin barang yang dikawal. Ini bukan (macam) beli kemeja-T di Shopee,” katanya.
“Sekiranya kerajaan Pulau Pinang dapat buktikan derma ini sahih, saya akan beri kebenaran serta-merta untuk mereka bawa masuk vaksin tersebut.”
Khairy berkata laporan polis akan dibuat bagi mengenal pasti identiti individu yang cuba mengelirukan ketua menteri Pulau Pinang.
Beliau menambah kerajaan pusat mengalu-alukan usaha daripada mana-mana pihak untuk mendapatkan vaksin yang diluluskan, dan sedia memudahkan urusan itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram