
Katanya, kesan kenaikan harga sawit yang ditanggung golongan M40 dan T20 itu juga mampu memulangkan nilai keringat sebenar pekebun kecil yang sudah lama diabaikan.
“Harga minyak sawit mentah di pasaran dunia sekarang ialah RM4,000 hingga RM4,500 setiap tan berbanding sekitar RM2,000 pada 2019 dan sebelumnya.
“Kesannya, harga buah tandan segar di ladang naik sekitar RM1,000 setiap tan berbanding RM300 setiap tan, yang meletakkan 450,000 pekebun kecil sawit dalam kategori miskin. Dengan kenaikan harga ini sekarang, mereka bertukar status daripada B40 yang berpendapatan kecil dan miskin kepada berpendapatan baik,” katanya di Facebook.
Khairuddin berkata, ekoran kenaikan harga minyak sawit mentah, berlakulah kenaikan harga pada minyak sawit bertapis atau minyak masak.
Katanya, harga minyak masak bertapis lebih tinggi sekitar RM5,000 setiap tan berbanding harga minyak sawit mentah.
“Oleh itu, dengan harga minyak sawit mentah RM4,000 hingga RM4,500, purata kos harga minyak masak di kilang ialah RM4.50 hingga RM5 setiap kg.
“Kalau 5kg sekitar RM25, belum dikira kos pembungkusan dan lain-lain. Dengan rantaian bekalan menerusi pemborong dan peruncit, sangat munasabah harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi 5kg,” katanya.
Khairuddin berkata, sudah lama rakyat M40 dan T20, iaitu 60% rakyat Malaysia yang kaya, menikmati harga minyak masak dengan harga rendah di atas kudrat dan keringat pekebun kecil yang berpendapatan rendah.
Katanya, golongan kaya menikmati harga minyak masak sekitar RM20 untuk 5kg.
“Kos proses di kilang sekitar RM3 setiap kg, termasuk botol dan pembungkusan.
“Ditambah keuntungan pembekal, pemborong dan peruncit menjadikan RM20 untuk 5kg. Sangat murah, tetapi pekebun kecil di kampung-kampung tidak cukup makan kerana harga sawit yang rendah, ditambah kos baja dan lainnya.”