HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Covid-19 dedah kelemahan sistem jagaan kesihatan, kata bos hospital

-

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Thomson Kota Damansara, Nadiah Wan berkata, negara menghadapi kekurangan sumber kesihatan yang sangat serius.

0
Shares
Total Views: 1

PETALING JAYA:
Pandemik Covid-19 mendedahkan kekurangan sangat serius sumber kesihatan di Malaysia daripada peralatan perubatan sehingga kapasiti dan bakat, kata ketua sebuah hospital swasta.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Thomson Kota Damansara, Nadiah Wan berkata, isu itu mencetuskan persoalan lebih besar bagaimana negara akan membina ketahanan sistem penjagaan kesihatannya.

Mengulas kekurangan sumber kesihatan itu, Nadiah berkata, pada peringkat awal pandemik, timbul masalah dari segi bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) di dalam negara.

“Sekarang, kami menyedari kekurangan vaksin dihantar ke Malaysia kerana kita tidak mempunyai kapasiti domestik untuk menghasilkan vaksin.

Free Malaysia Today
Nadiah Wan.

“Bahkan dalam perkara mudah seperti membina makmal terdapat beban kapasiti, bukan sahaja dari segi pembelian peralatan, tetapi lebih penting ialah sumber untuk membina dan mengendalikan makmal,” katanya dalam sebuah forum maya anjuran “Projek Sunway untuk Hubungan Asia dan Antarabangsa” yang bertemakan “Pandemik: Sentimen Ekonomi Global untuk Covid-19”.

Beliau berkata, Malaysia turut menghadapi masalah penghijrahan doktor dan jururawat ke luar negara untuk tempoh lama.

“Anda dapat melihat keadaan ini apabila rakyat mempersoalkan mengapa Kementerian Kesihatan (KKM) tidak meningkatkan kapasiti unit rawatan rapi (ICU).”

Katanya, kapasiti ICU bukan mengenai katil sahaja, tetapi tenaga kerja yang mengendalikan ICU.

“Anda tidak boleh menghasilkan ini dalam semalaman.”

Sebelum sekatan pergerakan, Nadiah berkata, sistem menghadapi beban melampau: pesakit dengan gejala Covid-19 membanjiri hospital; “mereka belum disaring lagi, mereka tercungap-cungap, kami tiada katil ICU, kami perlu melakukan intubasi kepada mereka di Jabatan Kecemasan, wad am.”

Katanya, hospital itu mengikut jejak langkah pihak berkuasa kesihatan di Kesatuan Eropah pada tahun lalu dan mengadakan kursus intensif dalam rawatan ICU untuk mereka yang tidak bekerja di wad.

Beliau berkata, pandemik itu menimbulkan persoalan berhubung pengurusan dan tindak balas krisis, serta kerangka undang-undang yang perlu ditangani pihak berkuasa kesihatan ketika krisis.

“Selalunya, KKM perlu bergantung kepada ordinan darurat untuk mempercepatkan proses dari segi pemerolehan.”

Dari sudut lebih positif, Nadiah berkata, pandemik merapatkan orang ramai dengan sistem kesihatan swasta dan menjadikan pendigitalan penjagaan kesihatan lebih penting.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.