
“Seperti ubat lain, termasuk Lopinavir dan Kitonavir, jika ada petunjuk kuat bahawa ubat itu dapat digunakan, hospital boleh memohon kepada PBKD untuk penggunaan di luar label,” kata KKM.
PBKD agensi bawah KKM.
Jurucakap itu mengingatkan penggunaan ubat di ‘luar label’ hanya boleh dilakukan bawah pengawasan dan pemanntauan rapi.
Istilah penggunaan ubat di ‘luar label’ merujuk kepada ubat yang digunakan untuk tujuan berbeza daripada matlamat asal ia dihasilkan.
KKM berkata demikian apabila mengulas desakan seorang doktor swasta mahukan sebuah hospital di Lembah Klang mendedahkan sama ada ia menggunakan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19.
Dr Amir Farid Isahak berkata rekod yang dia perolehi dari seorang pesakit Covid-19 yang merupakan “sahabat keluarga”, menunjukkan beliau dirawat dengan Ivermectin, yang belum diluluskan KKM untuk merawat pesakit Covid-19.
Klinik Amir diserbu oleh pihak berkuasa baru-baru ini kerana dikatakan membekalkan Ivermectin kepada pesakit.
Beliau memberitahu FMT, bahawa dalam kes hospital berkenaan, sahabatnya adalah kes Covid-19 Kategori 5 yang diberikan Ivermectin.
Dia juga mendakwa bahawa pesakit berkenaan tidak diberitahu oleh doktor atau kakitangan perubatan bahawa Ivermectin digunakan untuk merawatnya.
Pada awal bulan Jun, KKM dan Pusat Penyelidikan Klinikal memulakan ujian untuk mengkaji kesan dan keberkesanan Ivermectin dalam rawatan pesakit Covid-19 berisiko tinggi di 12 hospital kerajaan.
“Jika Ivermectin diberikan sebagai sebahagian daripada kajian, pesakit akan diberitahu,” kata Amir.
Bagaimanapun katanya, doktor tidak perlu memaklumkan pesakit bahawa mereka dirawat dengan ubat itu, jika ia sudah diluluskan untuk penggunaan di wad Covid-19.
Amir berkata, kajian yang dilakukan oleh KKM adalah untuk melihat sama ada Ivermectin berkesan dalam mencegah kes Covid-19 di kategori 2 dan 3 dan menghalang jangkitan itu menjadi bertambah serius iaitu menokok ke Kategori 4 dan 5.
“Tetapi mereka (hospital) merawat rakan saya dengan Ivermectin pada peringkat akhir,” katanya.
Menurut Amir, pelbagai pihak yang menyokong penggunaan ubat itu untuk merawat Covid-19 menyatakan bahawa Ivermectin paling baik digunakan sebagai pencegahan dan juga untuk rawatan awal.
Ivermectin menarik perhatian antarabangsa berikutan beberapa kajian kes dan ujian klinikal yang menunjukkan hasil memberangsangkan dalam merawat pesakit Covid-19.
Bagaimanapun Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengesyorkannya penggunaan Ivermectin di luar ujian klinikal.
KKM turut berpendapat bahawa tidak ada kajian saintifik yang membuktikan bahawa Ivermectin berkesan untuk rawatan Covid-19.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram