
Katanya, Sabah sebenarnya tidak perlu menunggu lampu hijau Putrajaya untuk memutuskan sesuatu perkara, termasuk pelaksanaan SOP ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
Beliau memberi contoh Warisan ketika mentadbir Sabah, ia menjadi negeri pertama yang menghalang kemasukan pesawat dari China sekitar Jan 2020.
“Menteri pengangkutan ketika itu, Loke Siew Fook menelefon dan memberitahu keputusan menghalang pesawat dari China bukan bidang kuasa Sabah, malah mereka juga mengarahkan Sabah membenar pesawat China mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
“Bagaimanapun, Shafie Apdal yang ketika itu ketua menteri ‘menyekolahkan’ KL dengan memberitahu urusan imigresen di bawah bidang kuasa negeri dan akhirnya beliau tetap dengan keputusan tidak membenarkan pesawat China mendarat di sini,” katanya dalam kenyataan.
Wong berkata, tindakan kerajaan negeri ketika itu membuktikan Warisan tidak menjadi ‘Pak turut” kepada Putrajaya, walaupun hakikatnya mereka adalah sekutu politik.
Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, katanya, kerajaan Sabah pimpinan Warisan sentiasa bersikap tegas dengan keputusan mereka, walaupun sering kali cuba “disabotaj” kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Apabila sudah tidak ada sekutu di KL, pelbagai sabotaj dibuat terhadap Sabah, tetapi Warisan sentiasa berjaya mencari jalan untuk membela rakyatnya.
“Contohnya apabila terdapat kekurangan kit ujian Covid-19 dan PPE (alat perlindungan diri) yang mana ia adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan, Warisan tidak perlu menunggu dan terlalu berharap kepada mereka.
“Maka, Sabah pun mengorek rizab negeri dan membeli peralatan sendiri tanpa menunggu KL. Kami membawa masuk kit ujian dari Singapura dan PPE dari Korea Selatan. Kalau Warisan tunggu KL, nyawa ribuan rakyat Sabah akan terancam.”
PKR sokong kerajaan negeri
Ketua PKR Sabah, Christina Liew berkata, parti itu menyokong keputusan kerajaan negeri membenarkan orang ramai makan di restoran atau kedai kopi.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai langkah proaktif bagi memastikan ekonomi negeri pulih secara beransur-ansur mengikut keperluan.
“Kerajaan negeri pimpinan Hajiji Noor membuat keputusan tepat berkaitan SOP operasi restoran dan kedai makan.
“Kerajaan persekutuan baru-baru ini melancarkan PKP di bawah Fasa I Pelan Pemulihan Negara dan apabila kita berbicara mengenai pemulihan ekonomi, kita harus menerapkan pro-perniagaan dan bukan menyekatnya, khususnya sektor kecil yang setiap hari terus berjuang untuk hidup.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram