Umno berdepan defisit kepercayaan jika kekal bersama PN, kata bekas menteri

Umno berdepan defisit kepercayaan jika kekal bersama PN, kata bekas menteri

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata, lebih parah keenganan mendengar dan menghormati keputusan akar umbi juga mampu melemahkan parti berkenaan dari dalam.

Zaid Ibrahim berkata, jika Umno mahu jadi parti yang besar, seharusnya keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu dihormati.
PETALING JAYA:
Umno berisiko menjadi parti lemah, selain berdepan defisit kepercayaan rakyat sekiranya masih berada dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim.

Katanya, lebih parah keenganan mendengar dan menghormati keputusan akar umbi juga mampu melemahkan parti berkenaan dari dalam.

“Jika Umno mahu jadi parti yang besar, seharusnya keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu dihormati. Saya lihat fenomena ahli-ahli parti ingkar pucuk parti telah jadi begitu biasa.

“Sekarang Umno ada penyakit ramai Ahli Parlimen (mereka) mahu kekal dalam kerajaan, walaupun akar umbi buat keputusan mahu Umno keluar daripada PN,” katanya dalam kenyataan di facebook, hari ini.

Zaid berkata, Umno perlu bijak mengawal ahli partinya terutama dalam mengambil keputusan tuntas dalam suasana politik ketika ini.

“Kepemimpinan parti kena buat keputusan diterima ramai dan tegas dengan tidak membiarkan ahli melanggar keputusan yang sudah mereka putuskan,” katanya.

Katanya, sekiranya Umno gagal bertindak, suhu politik negara berada pada keadaan tidak stabil.

“Alasan pandemik Covid-19 tidak boleh ada pertukaran kerajaan adalah alasan tidak logik,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Umno, anggota Kabinet dan pemimpin lain mengadakan pertemuan sepanjang hari, bermula di Ibu Pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, sebelum kumpulan lebih kecil pemimpin berhimpun di Menara Perwira dekat Kementerian Pertahanan.

Difahamkan, perbincangan dalam pertemuan itu berkisar mengenai rancangan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Sumber melaporkan semalam berkata, dua menteri Umno dikatakan bersetuju dengan cadangan parti itu keluar daripada kerajaan PN sebelum 1 Ogos, manakala sekurang-kurangnya lima lagi Ahli Parlimen yang juga ahli MT turut bersetuju berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.