
Kitson Foong berkata sejak awal 2000, peguam muda yang berpengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun ditugaskan untuk mengendalikan kes terbabit sekali gus menyebabkan kualiti pembelaan semakin merosot.
“Peguam muda yang majoritinya menjadi ahli dalam badan peguam berjaya melobi untuk mengubah peraturan itu. Aduan sudah diajukan kepada Majlis Peguam namun ia tidak diendahkan,” katanya kepada FMT.
Foong mengulas kes warga Yaman, Yahya Hussein Mohsen Abdulrab yang terlepas dari tali gantung kerana mengedar dadah apabila seorang peguam yang “tidak cekap” mewakilinya dalam perbicaraan.

Peguam yang sudah meninggal dunia itu tidak dapat melakukan pembelaan yang baik kerana menderita penyakit serius, seperti yang telah dinyatakan.
Yahya dalam pembelaannya berkata, dia diminta membawa beg bimbit oleh seseorang bernama Mickey, sehubungan itu isu sejauh mana dia mengetahui kandungan dalam beg itu patut dibangkitkan peguamnya di peringkat perbicaraan.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai tiga panel hakim berpendapat perbicaraan semula akan menyebabkan Yahya akan terus ditahan di penjara sejak direman pada Julai 2013.
Foong mendakwa hakim secara peribadinya telah mengadukan perkara itu kepadanya mengenai peguam muda yang menunjukkan pengetahuan cetek serta advokasi lemah ketika mengendalikan perbicaraan kes jenayah.
Tertuduh yang berdepan dengan hukuman mati harus diwakili ketika perbicaraan dan rayuan, sekiranya gagal mahkamah akan menugaskan peguam dan membayarnya.
Sebelum ini, peguam yang ditugaskan itu menerima bayaran sekitar RM2,000 untuk mengendalikan perbicaraan namun ia dinaikkan kepada RM6,000 dan boleh mencecah RM12,000.
Mereka juga akan dibayar RM3,000 lagi apabila hadir di peringkat Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.
“Jumlah ini agak lumayan tetapi kualiti kerja tidak seperti yang diharapkan,” katanya.
Dia berkata pemilihan peguam untuk ditugaskan mengendalikan kes itu dilakukan oleh timbalan pendaftar yang membuat penilaian berdasarkan kemahiran dimiliki peguam kanan ketika perbicaraan dan rayuan.

Peguam K A Ramu berkata berkata aspek paling penting dalam undang-undang jenayah ialah keadilan harus ditegakkan dan sabitan adalah selamat.
“Sabitan yang disebabkan oleh salah laksana perbicaraan akibat ketidakcekapan peguam tidak harus diharus dihadapi oleh tertuduh,” katanya.
Dia berkata Majlis Peguam perlu menghantar peguam jenayah yang berpengalaman ke universiti awam dan swasta untuk menyampaikan pengetahuan praktikal bagi membela tertuduh tanpa mengira betapa buruk keadaannya.
“Pada masa sama, majlis juga perlu menyediakan pendidikan guaman berterusan kepada ahlinya yang ingin menjalankan pengkhususan dalam bidang undang-undang jenayah,” katanya.

Peguam N Sivananthan berkata peguam haruslah bertanyakan kepada diri mereka sama ada mempunyai kemampuan, kecekapan dan pengalaman untuk mengendalikan perbicaraan apabila nyawa serta kebebasan tertuduh menjadi pertaruhan.
“Saya juga ingin mencadangkan peguam muda untuk mencari pengalaman di bahagian lain dalam undang-undang jenayah dan membantu peguam kanan terlebih dahulu sebelum mewakili anak guam dalam kes membabitkan hukuman mati,” katanya.
Sivananthan berkata peguam berpengalaman juga mempunyai kesukaran ketika membuat rayuan untuk meyakinkan hakim supaya mengubah keputusan berdasarkan apa yang terikat dalam perbicaraan.
“Namun, ia adalah tugas peguam membuat pembelaan untuk dibebaskan atau mengurangkan hukuman,” katanya.