Kos rawatan hospital swasta memang mahal, kata APHM

Kos rawatan hospital swasta memang mahal, kata APHM

Persatuan itu mempertahankan sekeping gambar caj bayaran pesakit yang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Negeri Sembilan, yang dimuat naik oleh bekas perdana menteri Najib Razak di Facebooknya.

Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menjelaskan kos penjagaan kesihatan swasta adalah mahal di mana-mana saja di seluruh dunia. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Caj bayaran untuk merawat pesakit Covid-19 di kemudahan perubatan swasta boleh mencecah antara ratusan hingga ribuan ringgit, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Persatuan itu mempertahankan sekeping gambar caj bayaran pesakit yang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Negeri Sembilan, yang dimuat naik oleh bekas perdana menteri Najib Razak di Facebooknya.

Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata orang ramai masih kurang sedar bahawa caj itu terutamanya untuk pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) boleh mencecah RM200,000 bagi kemasukan ke hospital selama 15 hari.

Tahun lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menganggarkan kos median rawatan bagi Kategori 4 dan 5 untuk pesakit Covid-19 adalah RM870 sehari atau RM18,270 untuk 21 hari kemasukan ke hospital.

Pesakit kategori 4 yang mempunyai pneumonia memerlukan terapi oksigen manakala kategori 5 pula pesakit kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Perubatan swasta adalah mahal di mana-mana negara di seluruh dunia,” kata Kuljit kepada FMT yang tidak dapat mengesahkan jumlah dinyatakan Adham.

“Orang ramai tidak tahu kos rawatan di hospital mencecah jumlah seperti ini. Kosnya sama juga seperti mana-mana rawatan terutama jangkitan paru-paru memandangkan mereka memerlukan rawatan sama membabitkan bantuan pernafasan, oksigen, intubasi, pengawasan dan sebagainya.

“Sekurang-kurangnya 80% daripada produk seperti mesin, bekalan perubatan dan ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan ICU adalah dari luar negara dan kini lebih mahal disebabkan kadar mata wang ringgit lebih rendah.

“Kita juga tidak menikmati sebarang subsidi, tidak seperti hospital kerajaan.”

Jadual bayaran yang dimuat naik Najib Razak.

Kuljit berkata caj penjagaan kesihatan swasta di Malaysia adalah di antara paling rendah di rantau ini dan berkualiti sambil menekankan rekod baik negara dalam industri pelancongan perubatan.

Sebelum penularan Covid-19, kemasukan pelancong perubatan ke Malaysia adalah tiga kali lebih tinggi berbanding negara jiran lain di Asia Tenggara.

Malaysia juga mempunyai jumlah kemasukan pelancong perubatan tertinggi di dunia iaitu 2018 (900,000) dan 2019 (1.3 juta) dengan caj bayaran yang diterima di hospital meningkat tiga kali ganda daripada 2009 hingga 2019 dengan jumlah mencecah RM1.7 bilion.

Kuljit berkata tidak ada garis panduan yang mengawal selia caj bayaran yang boleh dikenakan di hospital swasta.

Katanya, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Perubatan Jagaan Kesihatan Swasta yang diluluskan pada 1998 pula hanya menyediakan jadual bayaran boleh dikenakan oleh doktor swasta namun ia hanya membabitkan sebahagian kecil daripada keseluruhan bil hospital pesakit.

“Rumusannya ialah kos rawatan perubatan di hospital swasta adalah sama di hospital kerajaan, bezanya cuma kerajaan menanggung semuanya dan pesakit tidak tahu kos sebenar,” katanya.

“Orang ramai mahu bil hospital swasta yang murah dengan harga berpatutan tetapi kos penjagaan kesihatan di seluruh dunia agak tinggi termasuk di hospital kerajaan.”

FMT sudah menghubungi pihak hospital swasta untuk mengulas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.