
Dr Dzulkefly Ahmad (PH- Kuala Selangor), Dr Lee Boon Chye (PH- Gopeng) dan Dr Kelvin Yii (PH- Bandar Kuching) dalam kenyataan bersama berkata, penggunaan mana-mana jenis rawatan Covid-19 harus berdasarkan data dan sains diperoleh menerusi ujian klinikal menggunapakai prinsip “evidence-base medicine”.
“Ini termasuk kelulusan penggunaan Ivermectin untuk rawatan Covid-19 yang haruslah berdasarkan data-data yang yang dikumpul melalui ‘randomised clinical trials’ yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga di seluruh dunia.
“Namun, kajian sistematik lebih baru diterbitkan semalam, oleh Cochrane Collaboration yang menganalisis semua data yang ada sehingga 26 Mei menyimpulkan secara keseluruhannya, bukti kukuh sedia ada tidak menyokong penggunaan Ivermectin untuk rawatan dan pencegahan Covid-19,” kata mereka.
Kenyataan itu berkata, tinjauan sistematik diterbitkan Jurnal Perubatan British yang menganalisis semua data sehingga 1 Mac lalu, mendapati bukti faedah Ivermectin adalah “kepastian yang sangat rendah” kerana kekurangan metodologi dan ukuran kecil kajian.
“Oleh itu, kelulusan mana-mana rawatan Covid-19 termasuk Ivermectin haruslah melalui process ujian klinikal spesifik dan sebarang keputusan haruslah berdasarkan data, sains yang ada serta mengambil kira kesan sampingan terhadap pengguna,” katanya.
Katanya, hasil ujian klinikal Ivermectin yang sedang dilaksanakan KKM dijangka siap pada September ini.
“Kami menggesa rakyat menyakini vaksin Covid-19 yang menunjukkan kesan mengurangkan kadar jangkitan dan kematian, seperti yang berlaku di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram