HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Jalur Gemilang, simbol penyatuan negara perangi ‘musuh ghaib’

-

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata mengibarkan Jalur Gemilang menyerlahkan semangat penyatuan yang diperlukan untuk memerangi wabak Covid-19.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Bangunan kerajaan serta jalan di sekitar Putrajaya diserikan dengan Jalur Gemilang ketika tinjauan Bernama hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Menjelang ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-64, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa segenap lapisan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang dengan megah sebagai tanda penyatuan pada ketika semangat kebersamaan diperlukan dalam memerangi wabak Covid-19.

Ketika melancarkan Program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 yang dipancarkan secara langsung ke seluruh negara, Muhyiddin berkata sambutan Hari Kebangsaan tahun ini mengekalkan tema Malaysia Prihatin, seperti tahun lalu.

Program sambutan akan berlangsung sehingga 16 September, dan rakyat Malaysia digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda semangat patriotisme, rasa bangga terhadap negara dan solidariti sesama kita.

“Ini selaras dengan komitmen dan aspirasi berterusan kerajaan Perikatan Nasional untuk memupuk rasa kasih terhadap negara dalam kalangan semua rakyat, selain memupuk semangat kebersamaan dalam usaha kita memerangi wabak Covid-19.”

Katanya, walaupun negara masih di tahap kritikal dalam perang terhadap wabak itu, beliau berharap rakyat Malaysia dapat mengambil iktibar ketabahan generasi lampau dalam mengharungi tempoh mencabar ketika ini.

“Semangat pemimpin terdahulu dan generasi terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara yang dipenuhi pelbagai perit getir wajar dijadikan pengajaran dan inspirasi kita semua.

“Kali ini, kita memerangi musuh yang sukar dilihat dan jauh lebih berbahaya. Saya mendoakan anda semua terus tabah dan kuat semangat dalam usaha mengakhiri wabak Covid-19 ini,” kata beliau dalam pesanan kepada segenap lapisan masyarakat.

Katanya, bendera Jalur Gemilang adalah simbol patriotisme, yang membayangkan penyatuan negara dalam memerangi Covid-19.

“Saya berharap anda mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman atau kenderaan anda. Marilah kita lakukannya bersama bagi menyerlahkan rasa cinta terhadap negara, diiringi doa kita dan harapan bahawa negara tercinta ini akan pulih daripada wabak Covid-19 tidak lama lagi, dan kita kembali kepada kehidupan normal dan menikmati kemakmuran bersama.”

Dalam pada itu, ketika diwawancara RTM sebelum pelancaran itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah mengingatkan rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang dengan betul serta rasa bangga.

Katanya, ramai melakukan kesilapan dalam cara mempamerkan Jalur Gemilang.

Beliau berkata, bendera itu mesti dikibarkan tinggi dan nampak jelas sepenuhnya, tanpa tidak dihalang oleh barang atau gambar lain.

Saifuddin tidak menggalakkan Jalur Gemilang dijadikan kostum atau pakaian, sebaliknya mahukan ia dikibarkan dengan megah.

Sejajar dengan Bulan Kebangsaan, Jabatan Penerangan memulakan beberapa inisiatif termasuk laman web Merdeka360, kempen Info on Wheels (IOW) dan Program Keceriaan.

Walaupun berdepan Covid-19 dan sekatan pergerakan, Jabatan Penerangan menganjurkan beberapa pertandingan menyeronokkan termasuk lukisan mural, puisi, fotografi, mewarna, teka silang kata dan video TikTok.

Pertandingan bertemakan kemerdekaan ini akan diadakan secara digital supaya semua orang ramai dapat menyertainya dari kediaman masing-masing.

IOW akan menyaksikan lagu dan pesanan patriotik berkaitan Rukun Negara dipancarkan menerusi kenderaan yang dikerahkan ke lebih 153 daerah, manakala Program Keceriaan melibatkan pengibaran Jalur Gemilang di semua bangunan kerajaan di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.