
Dia yang tinggal di Sunway itu hanya ingin membeli barangan dapur dan menikmati makan malam bersama keluarga namun berdepan “bencana” besar apabila kereta Honda Civic milik penyelia pengeluaran berusia 35 tahun itu terkandas akibat jalan raya ditenggelami air.
Ia menyebabkan enjin keretanya rosak teruk dan disebabkan kenderaannya tidak mempunyai perlindungan banjir, Kunachandran mahu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertanggungjawab kerana tidak menempatkan kakitangan, papan tanda mahupun memberi amaran waspada kepada pemandu mengenai situasi itu.
Lebih mengecewakan lagi apabila orang tengah yang dilantik oleh broker insurans MBPJ untuk menilai kerosakan enjin keretanya masih belum menghantar tuntutan biarpun insiden itu berlaku lebih 140 hari lalu.
Keadaan bertambah buruk kepada bapa dua anak itu apabila dia terpaksa meneruskan pembayaran ansuran bulanan pinjaman kenderaan walaupun ia tidak dapat digunakan.
Dia kini menggunakan kereta milik rakan keluarganya yang turut memerlukannya untuk membuat pembayaran ansuran bulanan.
“Saya cuma ingin keluar membeli barangan dapur dan keperluan rumah tetapi semua itu musnah disebabkan bencana ini,” katanya kepada FMT.
“Saya sentiasa berhubung dengan orang tengah itu mengenai tuntutan tetapi kecewa dengan cara mereka menguruskannya.”
Katanya, MBPJ mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semua infrastruktur di Petaling Jaya selamat digunakan oleh orang awam dan kejadian itu menyebabkan aktiviti hariannya terjejas.
“Ini adalah kecuaian daripada pihak MBPJ,” katanya.
Kunachandran berkata, orang tengah terbabit juga sering berdalih dan enggan memberi tempoh akhir untuk menyiapkan penilaian mereka yang membabitkan peleraian enjin, walaupun dia telah menghantar dokumen berkaitan seperti gambar dan laporan teknikal.
“Saya percaya mereka menjadikan tuntutan ini sebagai sasaran dan bersikap tidak munasabah apabila meminta dokumen. Mereka juga tidak memberi alasan munasabah terhadap permintaan saya mendapatkan penjelasan serta sengaja melengahkan tuntutan,” katanya.
“Saya kini buntu dan mahu ia didedahkan kepada umum. Mereka fikir mereka berkuasa dan saya percaya bukan saya seorang sahaja yang pernah menjadi mangsa.”
Orang tengah yang dihubungi itu enggan mengulas sambil menjelaskan semua maklumat berkaitan kes terbabit adalah “sulit dan peribadi”.
FMT juga telah menghubungi MBPJ untuk mendapatkan komen.