PERKESO bayar lebih RM11 juta pampasan kepada pekerja positif Covid-19

PERKESO bayar lebih RM11 juta pampasan kepada pekerja positif Covid-19

Daripada jumlah itu, lebih RM10 juta dibayar kepada pekerja tempatan membabitkan 13,170 kes dan lebih RM1 juta kepada pekerja asing membabitkan 1,866 kes.

PERKESO membayar RM3.5 juta bagi faedah pengurusan jenazah untuk 1,792 pekerja tempatan yang meninggal dunia akibat Covid-19.
PENDANG:
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membayar pampasan lebih RM11.19 juta kepada pekerja yang dijangkiti Covid-19 di tempat kerja melibatkan 15,036 kes setakat 18 Sept lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, daripada jumlah itu, lebih RM10 juta dibayar kepada pekerja tempatan membabitkan 13,170 kes dan lebih RM1 juta kepada pekerja asing membabitkan 1,866 kes.

“Untuk faedah pengurusan jenazah melibatkan kes kematian disebabkan Covid-19 pula, jumlah bayarannya ialah lebih RM3.5 juta bagi 1,792 kes yang membabitkan pekerja tempatan.

“Bagi kematian melibatkan pekerja asing pula, PERKESO membuat bayaran pampasan berjumlah RM3,500 untuk pengurusan jenazah membabitkan dua kes,” katanya selepas meninjau Program Khidmat Masyarakat Imunisasi Covid-19 Daerah Pendang di sini, hari ini.

Program anjuran Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) bersama Pejabat Kesihatan Daerah Pendang itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Mengenai program itu, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang berkata, ia adalah usaha kementeriannya menerusi MNKKP untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan populasi dewasa di daerah ini yang masih merekodkan kadar vaksinasi rendah.

“Kita menyedari fakta seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) bahawa kadar vaksinasi (lengkap dua dos) dalam kalangan penduduk dewasa yang layak mendapat vaksin di daerah ini masih rendah, iaitu 51.16% bersamaan 38,115 orang (setakat semalam).

“Atas kesedaran itu, kita membantu mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan penduduk dengan mengambil pendekatan masuk ke dalam kampung bagi membantu meningkatkan pendaftaran dan kesedaran kepentingan vaksinasi dalam membentuk imunisasi kelompok.”

Setakat ini, katanya, program khidmat masyarakat itu dilaksanakan di beberapa kawasan di daerah Pendang, iaitu di Kampung Bukit Tegur, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Lahar Tunjung, KEDA Asam Jawa dan KEDA Tanjung Setul.

“Turut dirancang adalah program seumpama ini di beberapa daerah di Kedah yang kadar vaksinasinya masih rendah seperti Sik dan Baling…usaha sebegini akan diteruskan, malahan disebarluaskan untuk mempercepatkan peralihan (Kedah) kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.