Isu kenaikan pencen kepada golongan B40 antara fokus Dewan Rakyat hari ini

Isu kenaikan pencen kepada golongan B40 antara fokus Dewan Rakyat hari ini

Persidangan Dewan Rakyat akan menyambung sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang memasuki hari ketiga, hari ini.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kenaikan bayaran pencen bagi golongan B40 adalah antara persoalan yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) bertanya kepada perdana menteri sekiranya kerajaan akan menaikkan bayaran pencen bagi golongan itu selaras dengan kos sara hidup yang tinggi, selain ramai yang kehilangan sumber pendapatan ketika pandemik Covid-19 pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Turut terkandung dalam sesi itu adalah soalan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada menteri kanan kerja raya mengenai cabaran dihadapi sektor pembinaan akibat wabak Covid-19 dan bantuan yang dihulurkan kerajaan kepada sektor itu.

Pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, isu status terkini Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 serta pelan tindakan kerajaan dalam mengembalikan hak keistimewaan Sabah dan Sarawak, dibangkitkan oleh Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada perdana menteri.

Turut dibangkitkan ialah persiapan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menghasilkan vaksin sendiri serta vaksin terhadap varian baharu yang diajukan Ahmad Maslan (BN-Pontian).

Persidangan Dewan Rakyat juga akan menyambung sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang memasuki hari ketiga, hari ini.

Semalam, seramai 29 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan RMK12 selepas dibentangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lepas.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.