HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

JKN Selangor sahkan kematian ketua jururawat disebabkan Covid-19

-

Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman berkata, semakan mendapati ketua jururawat berkenaan adalah seorang pesakit kanser.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Ketua jururawat itu dirawat sebagai pesakit suspek Covid-19 kategori 5 dan keputusan ujian RTK Antigen beliau kemudian didapati positif, menurut Dr Sha’ari Ngadiman. (Bernama pic)

PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor mengesahkan kematian seorang ketua jururawat di negeri itu yang sebelum ini tular di media sosial dikatakan berpunca kesan sampingan vaksin, adalah disebabkan Covid-19.

Dalam kenyataan semalam, Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman berkata, semakan mendapati ketua jururawat berkenaan adalah seorang pesakit kanser yang dalam tempoh cuti sakit selama dua tahun.

“Beliau telah ditawarkan untuk mengambil vaksin Covid-19 pada 17 Feb lepas namun menolak dengan alasan risau dengan kesan sampingan vaksin tersebut. Bagaimanapun, beliau kemudiannya mendaftar dalam MySejahtera serta memberi kebenaran secara sukarela dalam borang kebenaran mendapatkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Sha’ari berkata, ketua jururawat itu menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 23 Julai lepas dan mengalami gejala demam 12 hari selepas mengambil vaksin namun tidak mendapatkan rawatan untuk gejala itu.

Beliau berkata, ketua jururawat itu mengalami kesukaran bernafas di rumah kediaman beliau dan dibawa oleh ambulan ke hospital pada 7 Ogos iaitu 16 hari selepas suntikan vaksin.

“Setibanya di hospital, beliau dirawat sebagai pesakit suspek Covid-19 kategori 5 dan keputusan ujian RTK Antigen beliau kemudian didapati positif,” katanya.

Katanya, pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan namun keadaannya semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 14 Ogos lepas.

Beliau berkata, saringan kontak rapat mendapati terdapat dua ahli keluarga turut disahkan positif Covid-19.

“Pihak hospital mengesahkan pesakit meninggal dunia disebabkan oleh Covid-19 dan bukannya akibat kesan sampingan vaksinasi Covid-19,” katanya.

Terdahulu, pada 22 Oktober lepas, tular di media sosial satu video berkenaan dakwaan seorang ketua jururawat di Selangor yang meninggal dunia akibat daripada suntikan vaksin Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.