
Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, siasatan akan dilakukan dalam pelbagai aspek termasuk operasi dan latihan.
Bagaimanapun beliau berkata, adalah terlalu awal untuk membuat keputusan menggantung penggunaan pesawat jenis berkenaan semasa siasatan dijalankan.
Ikmal Hisham berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan 15,000 kotak makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Bantu-Bantu Malaysia di Pangkalan Udara Subang, dekat sini.
Nahas pesawat pejuang Hawk 108 pada kira-kira pukul 10.07 malam tadi mengakibatkan juruterbangnya, Mohamad Affendi Bustamy maut, manakala Mohd Fareez Omar cedera.
Fareez kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Sementara itu Berita Harian melaporkan, jenazah Affendi akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Muadzam, Pahang, untuk pengebumian, hari ini.
Adik perempuannya dikenali Nur berkata, jenazah akan dibawa pulang selepas urusan bedah siasat selesai.
“Abang berada di Pulau Pinang kerana latihan. Dia dan isterinya menetap di Labuan tetapi ketika kejadian, isteri berada di Kelantan kerana bercuti.
“Kami segera ke sini sebaik sahaja dimaklumkan pihak TUDM mengenai tragedi ini. Kami terima kehilangan ini sebagai takdir Ilahi,” katanya.
Nur yang cuba menahan sebak ketika ditemui wartawan berkata, abangnya adalah anak sulung daripada tiga beradik.
“Dia seorang yang bertanggungjawab dan abang yang baik kepada kami semua (keluarga).
“Kakak ipar saya masih lagi terkejut dengan kejadian itu. Saya harap dia diberi ruang kerana masih bersedih,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram