HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Rayer tuduh pemimpin PAS tak contohi Nik Aziz pupuk perpaduan

-

Ahli Parlimen Jelutong memberi contoh tindakan Menteri Besar Kedah menutup kedai judi di negeri itu yang memperlihatkan dengan jelas sikap tidak mahu menjaga perpaduan.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
RSN Rayer berkata, pemimpin PAS hari ini tidak menunjukkan sikap mahu menjaga perpaduan seperti ditunjukkan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

KUALA LUMPUR:
Seorang wakil rakyat DAP menuduh pemimpin PAS hari ini tidak mencontohi ajaran bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam memupuk perpaduan antara kaum dalam negara.

RSN Rayer (PH-Jelutong) turut memberi contoh tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, termasuk menutup kedai judi di negeri itu yang memperlihatkan sikap tidak menjaga perpaduan di negara ini.

“Saya nak mengambil kesempatan untuk merujuk kepada Almarhum Nik Aziz sebagai ikon perpaduan walaupun beliau pemimpin PAS. Kita lihat ketika pentadbirannya dulu, orang bukan Islam di Kelantan, kebajikannya diberi perhatian malahan peruntukan besar diberikan Nik Aziz kepada masyarakat India di Kelantan dan kepada kerja membina kuil dan sebagainya.

“Saya nak cadang Kementerian Perpaduan menerbitkan satu rencana mengenai Nik Aziz kerana kita lihat, pemimpin PAS sekarang tidak begitu berhemah, mungkin juga tak tahu ajaran sebenar Nik Aziz. Saya mengambil contoh isu Menteri Besar Kedah, kalau tahun lalu saya merayu membabitkan bantuan berhubung isu perobohan kuil dan ia berjaya diselesaikan, kini satu lagi masalah, iaitu penutupan kedai judi yang membawa macam-macam masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan di Dewan Rakyat.

Rayer juga menggesa Kementerian Perpaduan memberi pengajaran dengan mendidik Sanusi supaya lebih berhemah dalam mentadbir negeri yang mempunyai masyarakat majmuk.

“Di sini saya ingin merayu kepada Kementerian Perpaduan supaya beri pengajaran untuk mendidik Menteri Besar Kedah supaya lebih berhemah lagi cara beliau mentadbir Kedah.

“Kedah negeri yang mempunyai masyarakat majmuk, kita perlu sensitif kepada masyarakat majmuk,” katanya.

Beliau mengulas tindakan kerajaan Kedah pimpinan Sanusi sebelum ini yang tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) bangkit mencelah membetulkan Rayer dengan memaklumkan aktiviti judi di Kelantan diharamkan ketika zaman Nik Aziz dan ia diikuti Kedah.

“Judi di Kelantan diharam sejak zaman Tok Guru Nik Aziz lagi. Menteri Besar Kedah ikut jejak Nik Aziz,” katanya.

Rayer menambah, usaha Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan semangat Keluarga Malaysia akan gagal jika masih terdapat pemimpin seperti Sanusi dan beberapa pemimpin lain dalam kerajaan tidak sensitif kepada masyarakat majmuk.

“Kita perlu mendidik pemimpin kita terutama daripada PAS, supaya lebih sensitif kepada masyarakat majmuk.

“Saya merayu isu integrasi nasional diberi perhatian, kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada PAS, Bersatu, Umno, percubaan Perdana Menteri kita YB Bera membuat Keluarga Malaysia boleh musnah kalau ada orang seperti pemimpin PAS, seperti MB Kedah yang celupar mengeluar kenyataan dan juga timbalan menteri yang keluar kenyataan sensitif dengan cara tidak berhemah dengan wanita dan adab dengan wartawan,” katanya.

Dalam pada itu, Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) menyifatkan ucapan Rayer sebenarnya penuh kebencian walaupun kononnya bercakap tentang perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.