HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Tiada beza GPS dengan BN, hanya ‘tukar pakaian’ kata pemimpin PKR

-

Setiausaha PKR Sarawak Joshua Jabeng berkata walaupun menggunakan logo sendiri namun orang dalam GPS pernah bersama BN sebelum 2018.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Setiausaha PKR Sarawak, Joshua Jabeng berkata, tiada beza antara Gabungan Parti Sarawak dan Barisan Nasional.

PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR mendakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bertanding menggunakan lambang sendiri buat pertama kali tiada beza dengan Barisan Nasional (BN) hanya “menukar pakaian”.

GPS yang dibentuk selepas pilihan raya umum (PRU) 2008 terdiri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang semuanya adalah sebahagian daripada BN sebelum itu.

Setiausaha PKR Sarawak, Joshua Jabeng berkata, beliau percaya kedudukan PKR sebagai parti nasional tidak merugikan walaupun GPS meletakkan dirinya sebagai parti yang berpangkalan di Sarawak.

Beliau berkata, GPS dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mendakwa sebagai parti tempatan tetapi terdiri daripada orang sama yang berada dalam BN pada 2018.

Free Malaysia Today
Joshua Jabeng.

“Mereka boleh mencipta logo baharu tetapi mereka masih orang sama, Jadi, apa beza yang mereka lakukan? Jika GPS bercakap mereka sebagai parti berlainan dengan BN, itu tidak benar.

“Mereka adalah orang sama dalam BN selama ini, hanya menukar pakaian, tetapi orang sama,” katanya ketika dihubungi FMT.

Joshua, yang berdepan saingan enam penjuru bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus berkata, tiada apa yang berubah sejak penjenamaan semula GPS dan mendakwa “masalah sama” kekal seperti rasuah dan penyalahgunaan dana awam.

Beliau berkata, isu utama lain termasuk tanah hak adat bumiputera (NCR) serta kekurangan pembangunan di Sarawak walaupun sumber semula jadinya kaya.

“Ini adalah isu yang serius kerana tanah adalah harta rakyat, kekayaan dan masa depan. Jika itu diambil, apa yang mereka tinggalkan? Jadi kami masih terus berjuang.

“Melihat kepada pembangunan, kita sangat jauh di belakang berbanding Semenanjung kerana kita diabaikan, bukan kerana kita miskin. Jadi, ia adalah isu pentadbiran. Sesetengah orang berkuasa salah menguruskan kekayaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, isu tanah NCR adalah sesuatu yang PSB tidak pernah perjuangkan dan percaya PKR lebih baik tanpa bekerjasama dengan parti yang dipimpin Wong Soon Koh.

“Sebabnya, bagaimana kita boleh bercakap tentang hak tanah dengan satu pihak dan orang lain?. Kita mempertahankan mereka hanya kerana mereka rakan seperjuangan kita? Saya percaya ini lebih baik kerana matlamat kita jelas.

“Saya tidak tahu mengapa mereka tidak memperjuangkan isu ini. Mungkin anda perlu bertanya kepada mereka mengapa mereka tidak membangkitkan mengenai penyalahgunaan NCR ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.