HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Larangan perarakan Thaipusam ‘tak masuk akal’, perhimpunan lain boleh pula, kata Saravanan

-

Mengulas larangan perarakan yang dikenakan terhadap perayaan Hindu itu, Timbalan Presiden MIC itu berkata beliau bersedia bertemu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob esok untuk membincangkan perkara tersebut.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata beliau bersedia bertemu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaacob esok untuk membincangkan perkara tersebut.

PETALING JAYA:
Sambutan Thaipusam tahun depan wajar diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Mengulas larangan perarakan yang dikenakan terhadap perayaan Hindu itu, Timbalan Presiden MIC itu berkata beliau bersedia bertemu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob esok untuk membincangkan perkara tersebut.

Beliau yang bercakap pada sambutan 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia berkata, tidak masuk akal larangan perayaan itu dikenakan selepas program dengan kehadiran ramai orang.

Beliau merujuk kepada program Aspirasi Keluarga Malaysia hari ini yang dipenuhi ribuan orang di KLCC malah tidak mematuhi SOP ditetapkan, selain Perlawanan Akhir Piala Malaysia di ibu negara minggu lepas.

“Ramai orang berkumpul di Pusat Konvensyen KLCC untuk meraikan pencapaian 100 hari kerajaan.

“Ini disambut secara besar-besaran dan di luar jangkaan. Tiada penjarakan fizikal (diperhatikan di sini) sebab orang ramai telah memenuhi dewan dan mereka berdiri dekat-dekat,” katanya menurut laporan Malaysian Insight.

Pada Selasa, Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique berkata tidak akan ada perarakan Thaipusam dan Chingay tahun depan.

Bagaimanapun, berikutan reaksi orang ramai, kementerian berkata SOP Covid-19 untuk perayaan Hindu akan datang masih belum dimuktamadkan lagi.

Jawatankuasa kuil Hindu Batu Caves membidas Halimah kerana mengharamkan perarakan Thaipusam dengan Pengerusinya R Nadarajah mengakui tersentak memandangkan tiada apa yang dimuktamadkan pada mesyuarat pada 2 Disember yang melibatkan ketua kuil dari Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Johor, bersama wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan kementerian kesihatan dan kementerian perpaduan.

Tahun ini Putrajaya membenarkan perarakan pedati tetapi dengan SOP yang ketat kerana Covid-19. Selain pegawai kuil, tiada sesiapa pun dibenarkan mengiringi pedati itu.

Thaipusam perayaan terbesar penganut Hindu selepas Deepavali. Selain Batu Caves, ia disambut secara besar-besaran di Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.