Guru tertipu, wang lebih RM400,000 lesap

Guru tertipu, wang lebih RM400,000 lesap

Mangsa yang juga seorang guru sekolah menengah kerugian RM438,900 diperdaya oleh individu menyamar polis.

Mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa sebagai wakil ejen insurans sebelum talian disambung kepada individu menyamar polis pada 11 Ogos lalu.
PETALING JAYA:
Wang berjumlah RM438,900 milik seorang guru wanita lesap begitu saja selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai polis dengan mendakwa mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram bernilai RM2.8 juta.

Guru sekolah menengah berusia 44 tahun itu juga dikatakan terbabit dengan penipuan tuntutan insurans sebanyak RM76,000.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa sebagai wakil ejen insurans pada 11 Ogos lalu.

Katanya, mangsa yang didakwa terbabit dengan penipuan tuntutan insurans kemudiannya disambungkan talian kepada seorang individu bernama Azman, yang kononnya daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang dan turut memaklumkan dia terbabit dengan pengubahan wang haram.

“Bagi membantu mangsa menyelesaikan kes itu, dia diperkenalkan dengan individu menyamar sebagai pegawai penyiasat jenayah komersial bernama Tuan Chong. Mangsa diminta membayar wang ikat jamin sebanyak RM600,000 dengan cara membuka akaun Agrobank.

“Pada 8 Sept lalu mangsa membuka akaun Agrobank di Agrobank Cawangan Pekan, mangsa sekali lagi diarahkan supaya semua wang simpanan miliknya dimasukkan ke dalam akaun Agro Bank dan menghantar gambar kad ATM serta buku akaun kepadanya (Tuan Chong) bagi tujuan pemantauan,” katanya dalam kenyataan, menurut laporan Harian Metro.

Menurut beliau, mangsa yang membuat semakan di akaun banknya semalam mendapati baki wangnya hanya tinggal RM132.31 dan sebelum segera ke Agrobank Cawangan Pekan untuk membuat semakan dan meminta penyata akaun.

Mohd Wazir berkata, pihak bank menyatakan terdapat 26 kali pemindahan wang ke akaun bank individu yang mangsa tidak kenali berjumlah RM438,900 bermula pada lapan September hingga kelmarin.

Katanya, mangsa yang berasa tertipu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Nenasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.