HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

4 maut dalam 2 kemalangan berasingan di Sabah

-

Kejadian di Sandakan membabitkan 3 lelaki yang menaiki sebuah kenderaan manakala di Kota Kinabalu membabitkan seorang penunggang motosikal.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Pasukan bomba mengeluarkan salah seorang mangsa tersepit dalam kemalangan di Jalan Lintas Sibuga, Sandakan. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)

KOTA KINABALU:
Tiga lelaki maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Jalan Lintas Sibuga, Sandakan, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, tiga mangsa yang maut bagaimanapun belum dikenal pasti identiti mereka.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata, mereka menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.40 pagi.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga FLX yang terbabas sendiri di bahu jalan.

“Terdapat tiga orang mangsa terlibat disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan).

“Dua mangsa dikeluarkan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan bomba manakala seorang mangsa tersepit dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Free Malaysia Today
Motosikal ditunggang mangsa dalam kemalangan di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu. (Gambar PDRM)

Sementara itu di Kota Kinabalu, seorang penunggang motosikal maut selepas bergesel dengan sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Kepayan berhampiran lampu isyarat Pahlawan, malam tadi.

Dalam kejadian 8 malam itu, mangsa Muhammad Taip Rahim, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1).

Difahamkan, pemandu kereta Perodua Viva dan penunggang motosikal Yamaha Y15 berkenalan dan mereka dalam perjalanan melihat sebuah kenderaan yang mahu dibeli.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Jo Ak Hang berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan pemandu kenderaan berusia 34 tahun bergerak dari Kota Kinabalu menghala ke Kampung Dumpil Putatan.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kenderaan menukar laluan dari lorong kiri ke lorong paling kanan.

“Penunggang motosikal yang berada di lorong tengah juga cuba menukar ke lorong paling kanan sebelum berlaku pergeseran sehingga menyebabkan mangsa terbabas dan merempuh pembahagi tengah jalan.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada 8.25 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.