Pengguna ‘mengeluh’ jalan sesak, ditutup gara-gara demo #TangkapAzamBaki

Pengguna ‘mengeluh’ jalan sesak, ditutup gara-gara demo #TangkapAzamBaki

Beberapa laluan di sekitar Bangsar dan IPD Brickfields mula dilencongkan dan ditutup pihak polis menyebabkan kesukaran kepada pengguna jalan raya.

Keadaan trafik sesak disebabkan beberapa laluan ditutup di sekitar Bangsar dan IPD Brickfields berikutan penganjuran demo #TangkapAzamBaki.
KUALA LUMPUR:
Rata-rata pengguna yang melalui jalan menuju ke stesen LRT Bangsar mengeluh susulan kesesakan jalan yang berlaku selepas lima jalan sekitar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dilencongkan berikutan protes #TangkapAzamBaki.

Tinjauan FMT mendapati beberapa laluan menuju ke Bangsar sesak susulan pihak Polis menutup dan melencongkan beberapa laluan.

Mohd Faris Rahman berkata, sepatutnya penganjur himpunan #TangkapAzamBaki memilih kawasan yang tidak menganggu pengguna jalan raya.

“Selatutnya mereka buat la protes di stadium ke, kawasan parking ke yang lapang, tak payah la buat dijalanan, kalau buat di stadium pun orang boleh tengok dalam media sosial, tak perlu nak tunjuk di jalanan, nak bersolidariti, bantah ke apa buatlah di tempat yang sesuai,”katanya.

Sementara itu, bagi Abdul Malik, yang bekerja di Plaza Sentral berkata menyifatkan himpunan hari ini menyusah rakyat dan membawa risiko jangkitan Covid-19.

“Memang menyusahkan sebab protes entah apa- apa ini kami lewat ke tempat kerja, malah sekarang Covid-19 belum reda, jangan sampai himpunan ini, kes naik mencanak balik,”katanya

Sementara itu, bagi Nurul Hidayah Razak, beliau meraikan demokrasi tetapi himpunan yang ingin dibuat biarlah kena pada tempatnya.

“Kita meraikan demokrasi tapi kalau boleh tempat nak buat itu buat betul-betul, ini tak pasal- pasal polis tutup jalan kami pun jem lebih 3km sangkut di jalan, selalunya jalan ini tak sesak kalau hari minggu terutamanya dari Jalan Maarof menuju ke Jalan Bangsar,”katanya.

Terdahulu lima jalan sekitar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dilencongkan bermula 7 pagi tadi sebagai persediaan bagi protes jalanan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Jalan-jalan yang terbabit adalah Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers menuju ke Jalan Bangsar, Jalan Rakyat menuju ke Jalan Bangsar, dan Jalan Maarof menuju ke Jalan Bangsar.

Kira-kira 500 penunjuk perasaan berpakaian serba hitam berkumpul menyertai demo berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.