HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Taib Mahmud dilantik Yang Dipertua Sarawak bagi penggal ketiga

-

Lantikan pertama adalah pada 1 Mac 2014 hingga 28 Feb 2018, manakala lantikan kedua pada 1 Mac 2018 hingga 28 Feb 2022.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Yang Dipertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud, dilantik bagi penggal ketiga, hari ini, di Dewan Lapau, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Beliau juga merupakan bekas Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Abdul Taib Mahmud, hari ini, mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, bagi penggal ketiga di Dewan Lapau, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim.

Istiadat mengangkat sumpah itu bermula 3 petang yang dimulakan dengan pendaftar istiadat menghadap Yang Dipertua Negeri untuk perkenan memulakan istiadat.

Kemudian Premier Sarawak membaca surat pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Taib kemudian mengangkat sumpah pelantikan jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak, kelapan.

Selepas mengangkat sumpah, Taib menandatangani surat angkat sumpah pelantikan dan surat pengisytiharan disaksikan Premier Sarawak dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Terdahulu beliau telah menerima surat cara pelantikan bagi menyambung khidmatnya selama dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong di Dewan Sri Setia Istana Negara, pada Isnin.

Menurut laporan Astro Awani, ini merupakan penggal ketiga Taib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak.

Lantikan pertama adalah pada 1 Mac 2014 hingga 28 Feb 2018, manakala lantikan kedua pada 1 Mac 2018 hingga 28 Feb 2022.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk kawalan Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama Batalion ke-10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak di pekarangan DUN.

Hadir sama, isteri Yang Dipertua Negeri Raghad Kurdi Taib, isteri Premier Sarawak Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Premier Douglas Uggah Embas, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Amar Jaul Samion.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, anak sulung daripada 10 beradik itu pernah memegang jawatan ketua menteri selama 33 tahun, sejak 26 Mac 1981 menggantikan bapa saudaranya, Abdul Rahman Ya’kub.

Beliau pernah berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Mahkamah Agung Australia Selatan selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, sebelum kembali ke Sarawak.

Anak jati Sarawak etnik Melanau itu menceburi politik pada tahun 1963 apabila menjadi anggota Majlis Perundangan Negeri Sarawak sehingga 1966.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.