
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Jalaluddin Alias berkata, dua kolam takungan banjir terlibat adalah Kolam Taman Wahyu dan Kolam Delima di Kepong yang masing-masing diberi kelulusan pada 18 Jan 2018.
“Baki empat lagi kolam (Batu, Nanyang, Batu 4 1/2 dan Taman Desa) tidak ada sebarang kebenaran. Kolam Nanyang termasuk dalam satu kolam besar dinamakan sebagai Rancangan Tebatan Banjir Sungai Jinjang,” katanya ketika menjawab soalan daripada Hannah Yeoh (PH-Segambut) di Dewan Rakyat hari ini.
Yeoh ingin tahu status terkini dan butiran terperinci rancangan pembangunan ke atas enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur yang diluluskan pemberimilikan bagi tujuan pembangunan seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019.
Dilaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan enam kolam takungan banjir di sekitar ibu negara diluluskan untuk ditukar status kepada projek pembangunan.
Jalaluddin berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik perunding juruukur berlesen bebas bagi menyemak dan mengesahkan pembangunan yang dilaksanakan pemaju dalam sempadan pemilikannya sahaja tanpa memasuki dua kolam tersebut (Wahyu dan Delima).
“Kerja-kerja pengukuran telah selesai oleh pihak konsultan pada 13 Jan lalu dan laporan telah dihantar kepada SPRM 31 Jan lalu. Sekarang kita menunggu laporan lengkap daripada SPRM,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan di sekitar dua kolam berkenaan juga tidak akan menjejaskan kapasiti fungsi dan jumlah air yang diperuntukkan dalam kolam itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram