HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Saman kecuaian keluarga Altantuya: Razak Baginda tak akan beri keterangan

-

Peguamnya memaklumkan mahkamah Razak tiada kes untuk dijawab, yang secara tidak langsung menyatakan beliau tidak perlu mematahkan kes plaintif kerana liabiliti tidak dibuktikan.

243
Shares
Total Views: 5,487
Free Malaysia Today
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda (kiri) antara defendan yang dinamakan dalam saman kecuaian difailkan keluarga Altantuya Shaariibuu (kanan).

SHAH ALAM:
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda hari ini memaklumkan Mahkamah Tinggi beliau tiada kes untuk dijawab dalam saman kecuaian yang difailkan oleh keluarga Altantuya Shaariibuu.

Peguam Manjeet Singh Dhillon memaklumkan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera, pihaknya diarahkan bahawa keputusan Razak itu berdasarkan pliding yang difailkan dan bukti dikemukakan di mahkamah.

Ini secara tidak langsung bererti penasihat bekas perdana menteri Najib Razak itu menyatakan beliau tidak perlu mematahkan kes plaintif kerana liabiliti tidak dibuktikan. Pendiriannya itu juga bererti peguam mewakili keluarga Altantuya tidak akan berpeluang menyoal balasnya.

Terdahulu, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga berkenaan memberitahu Vazeer pihaknya menutup kes selepas memanggil 27 saksi, termasuk Tonny Lunggan yang menyiasat kematian wanita Mongolia itu, 16 tahun lalu.

Mahkamah turut membenarkan empat percakapan beramaran direkodkan daripada Razak ketika siasatan dijalankan, untuk dimasukkan sebagai bahan bukti menerusi Lunggan.

Dalam satu daripada kenyataan itu, Razak memberitahu pegawai yang merakam percakapan bahawa anggota polis Azilah Hadri memaklumkan dia boleh “habiskan” Altantuya, malah dia telah melakukannya beberapa kali sebelumnya.

Bagaimanapun, ketika perjumpaan di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 18 Okt 2006, Abdul Razak mengingatkan Azilah supaya tidak bertindak sejauh itu kerana keluarga Altantuya akan mencari beliau.

Tonny dalam pernyataan saksinya yang dibacakan dalam mahkamah semalam berkata, Razak mendapatkan bantuan Musa Safri, pembantu peribadi Najib Razak (ketika itu timbalan perdana menteri) pada 16 atau 17 Okt kerana mendakwa diganggu Altantuya. Musa menghantar Azilah untuk menemui Razak bagi memberikan bantuan.

Dalam pembelaannya, Razak berkata beliau tidak bersubahat dengan Azilah untuk membunuh kekasihnya Altantuya, seperti dinyatakan dalam afidavit.

Bapa Altantuya, Setev, ibunya Altantsetseg Sanjaa dan anak lelakinya Mungunshagai Bayarjargal menamakan Razak, kerajaan, Sirul dan Azilah sebagai defendan. Keluarga itu mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Altantuya dan menuntut ganti rugi RM100 juta, termasuk tuntutan tanggungan.

Sirul dan Azilah, anggota polis dari Unit Tindakan Khas telah disabitkan kesalahan pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Altantuya.

Mereka berjaya membatalkan sabitan di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada 2015 menukar sabitan dan menjatuhkan hukuman mati. Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan akhir itu dibuat.

Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul, tetapi kemudian dibebaskan tanpa pembelaannya dipanggil.

Sementara itu, kerajaan yang diwakili peguam kanan persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Khairuddin Anbar akan menutup kes mereka selepas memanggil dua lagi saksi. Pihak mereka mendakwa Azilah dan Sirul bertindak sendiri dalam melakukan jenayah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.