
Lebih menarik, penanaman pintar dengan rumah hijau itu menggunakan sistem akuaponik (gabungan ternakan ikan dan sayuran) di atas bumbung sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor yang berkeluasan kira-kira 7,000 kaki persegi.
Selain itu, kebun sayuran yang dikenali sebagai Fresh Growcer (One Utama Rooftop Farm) itu juga memberikan pengalaman yang menyeronokkan apabila pelanggan boleh memetik sendiri sayur yang masih segar untuk dibawa pulang.
Emil berkata, perniagaan yang dimulakan sejak Mac itu bersama seorang lagi rakan kongsinya, Tony Yong, 52, mempraktikkan konsep lestari dan mampan bagi menghasilkan tanaman yang lebih selamat dimakan.
Katanya, penggunaan racun serangga perosak ke atas tanaman sayur-sayuran dikhuatiri membahayakan kesihatan dan banyak sayuran yang dijual di pasar didakwa bebas daripada racun, namun diragui kebenarannya.
“Oleh itu pelanggan yang datang ke sini boleh melihat sendiri sistem air yang digunakan untuk tanaman sayur-sayuran dikongsi bersama ternakan ikan. Sisa ikan itu pula akan menyediakan sumber makanan organik untuk sayur-sayuran secara semula jadi.
“Sebaliknya jika menggunakan semburan racun atau baja kimia, sudah tentu ikan akan mati dan ia boleh mengurangkan kandungan nutrisi sayuran yang ditanam,” katanya.
Tambahnya, rumah hijau itu turut memaksimumkan penjimatan seperti penggunaan cahaya matahari 100% dan kipas ekzos sebagai pengudaraan.
Mengenai pemilihan bumbung pusat beli-belah sebagai kebun sayuran, Emil berkata, ia adalah tempat strategik bagi memudahkan golongan bandar mendapatkan bekalan sayuran segar dengan cepat dan merasai persekitaran kebun dengan lebih dekat.
Berkongsi cabarannya pula, Emil mengakui tanaman sayuran organik memerlukan lebih penelitian berbanding tanaman secara konvensional dan perlu memastikan bekalan yang ada sentiasa memenuhi permintaan pelanggan.
“Purata tumbesaran sayuran untuk mencapai tempoh matang adalah 35 hari, setakat ini kita masih lagi mampu menampung permintaan dan sayuran yang menjadi pilihan akan diberikan keutamaan dari segi jumlah tanaman berbanding sayur lain,” katanya.
Emil, yang sebelum ini menetap di New York, Amerika Syarikat kembali ke Malaysia kira-kira lima tahun lepas berkata, kebun sayur organik itu menawarkan pelbagai jenis sayuran, antaranya bayam merah, sawi pendek, sawi bunga, salad, selasih Itali, cili padi selain ternakan ikan tilapia dan buah-buahan organik yang dibawa dari kampung.
Beliau juga berhasrat menambah beberapa jenis sayur lagi pada masa akan datang selain mahu menjadikannya sebagai pusat rujukan bagi institusi dan pelajar yang berminat mempelajari usahanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Nazli Idrus, 40, yang tinggal di Taman Tun Dr Ismail berkata, beliau mengetahui tentang kewujudan kebun sayur organik itu melalui perkongsian rakannya di media sosial yang pernah mengunjunginya.
“Meskipun harga sayuran yang dijual di sini sedikit premium, ia berbaloi kerana kita sendiri yang petik sayur dan yakin ia bebas daripada sebarang bahan kimia dan lebih banyak manfaat untuk kesihatan dan alam sekitar,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram