
Benedict Weerasena daripada Bait Al-Amanah berkata, pengundi mungkin melihat kerajaan sebagai gagal menangani isu kenaikan harga makanan.
Lonjakan harga makanan di negara ini didorong oleh pelbagai faktor. Pada masa yang sama, spekulasi bertiup kencang bahawa pilihan raya umum (PRU) akan diadakan jauh lebih awal sebelum tarikh akhirnya pada September tahun depan.
Weerasena berkata, kenaikan harga akan mempengaruhi sentimen pengundi.

“Sejak beberapa dekad lepas, kenaikan harga, terutamanya bagi makanan dan bahan bakar, mencetuskan kemarahan pengundi atas kegagalan kerajaan menanganinya,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, tekanan inflasi semasa adalah “fenomena global” dan disebabkan oleh gangguan berkaitan bekalan dan ketegangan geopolitik yang berpanjangan.
Kerajaan akan “menerima padah kemarahan pengundi” jika pilihan raya diadakan, katanya.
Seorang lagi ahli ekonomi, Goh Lim Thye daripada Universiti Malaya berkata, pilihan raya yang diadakan semasa krisis secara umumnya tidak memihak kepada penggubal dasar yang berkhidmat.
Beliau memberi contoh pilihan raya diadakan di Australia bulan lepas ketika kadar inflasi negara itu berada pada tahap 5.1% yang menyebabkan perubahan kerajaan pertama di negara itu dalam tempoh sembilan tahun.

Beliau juga berkata, isu yang menjadi perbalahan semasa akan “tergantung” jika terdapat peralihan kuasa.
“Peralihan itu akan menjadi masalah kerana penggubal dasar sedia ada tidak lagi berada di kementerian mereka,” katanya.
“Ini akan membawa kepada permainan saling menyalahkan, bukannya memperbetul isu.”
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara dengan media Selasa lepas berkata, PRU15 perlu ditangguh disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) pada Rabu, beliau berkata, beliau tidak akan menangguhkan pembubaran Parlimen “sesaat pun” sebaik sahaja gabungan itu bersedia.
Tentangan Ismail terhadap PRU15 semasa kitaran inflasi semasa dipuji oleh Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz, yang dipetik semalam sebagai berkata, ahli politik yang mendesak pilihan raya diadakan awal “mementingkan diri dari segi politik”.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram