HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Petisyen bekas banduan terhadap keadaan penjara tak berperikemanusiaan

-

Seorang banduan yang dibebaskan baru-baru ini berkata, banduan yang mengadu akan dipukul atau ditempatkan dalam kurungan bersendirian.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Ali menunjukkan kepada FMT petisyen yang ditandatangani 42 bekas banduan berhubung keadaan teruk dalam penjara.

GEORGE TOWN:
Sekumpulan 42 bekas banduan menyediakan petisyen berhubung layanan tidak berperikemanusiaan sejak dua tahun lalu.

Seorang banduan yang dibebaskan di utara Semenanjung baru-baru ini, yang hanya mahu dikenali sebagai Ali berkata, 300 banduan di penjara itu dinafikan hak asasi seperti berehat, di mana mereka boleh bersenam atau membaca buku.

Katanya, banduan yang mengadu akan dihukum oleh warden dengan memukul atau menempatkan mereka dalam kurungan bersendirian.

Menurutnya, mereka terpaksa melihat dinding dan rakan sel selama 22 jam sehari dan hanya dibenarkan keluar dari sel sebentar untuk melakukan perkara seperti mandi.

Ali memberitahu FMT di pejabat peguamnya, dia melantik seorang peguam demi mendedahkan keadaan dalam penjara dengan petisyen ditandatangani 42 bekas banduan yang memberi keterangan mengenai penderaan dan keadaan dalam penjara.

Peguam Ali, Hussaini Abdul Rashid berkata, dia sudah menulis surat kepada menteri dalam negeri serta pesuruhjaya penjara dan sedang menunggu respons mereka.

FMT sudah menghubungi pesuruhjaya penjara itu untuk mendapatkan komen.

Bekas pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph memberitahu FMT, penjara perlu mematuhi piawaian minimum untuk layanan terhadap banduan, dengan menyediakan makanan dan air mencukupi serta senaman seperti ditetapkan.

“Aduan yang dibangkitkan perlu ditangani segera oleh pihak berkuasa penjara,” katanya ketika diberitahu mengenai pengalaman Ali.

Ali berkata, banduan tidak dapat mandi dengan baik dan tidak diberikan masa untuk membasuh pakaian mereka, dengan setiap banduan hanya dihadkan kepada 10 baldi kecil air dari sebuah kolam yang dikongsi semua banduan.

Banduan juga terpaksa membuang air kecil dan besar dalam baldi getah besar, dengan najis tidak dikutip.

“Pada satu ketika, kami tidak mandi demi mencuci pakaian kami yang busuk. Dan kami terpaksa melakukannya secara diam-diam. Bagaimana kami hendak solat tanpa pakaian bersih?”

Makanan yang dihidangkan kepada banduan mengandungi “serpihan” daging. Dia mendakwa sesetengah warden malah makan makanan yang disediakan untuk banduan.

Ali berkata, pegawai penjara juga “merampas” kemudahan bagi keluarga membelanjakan sehingga RM150 untuk membeli barang peribadi dan minuman buat ahli keluarga mereka yang dipenjarakan.

Katanya, banduan terpaksa mengambil baki pek yang telah dipilih, termasuk barang yang mereka tidak perlukan, bukannya dibenarkan memilih barang yang mereka mahu.

Joseph berkata, Suhakam sebelum ini dimaklumkan peruntukan sudah diluluskan untuk menukar tandas “sistem baldi” dalam penjara.

Katanya, tandas sistem baldi digunakan di tujuh penjara “lama dan warisan” di Pulau Pinang, Taiping serta Muar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.