
Pengarah Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata, beliau bertemu Lim di bangunan Komtar pada Disember 2015 untuk memberi jam tangan jenama Maurice Lacroix serta wang tunai RM100,000 dalam sampul surat.
“Lim memberikan kembali sampul putih itu kepada saya. Hanya jam tangan jenama Maurice Lacroix diterima olehnya.
“(Beliau) kelihatan gembira menerimanya,” kata Zarul.
Seorang bekas broker jam tangan, K Rajen Gunaretnam, memberitahu mahkamah September lepas bahawa beliau menjual jam tangan Maurice Lacroix kepada Zarul dengan harga RM40,000 pada 2015.
Zarul juga berkata, beliau memberi Lim RM100,000 pada hari lahirnya setahun sebelumnya. Beliau menyerahkan wang tunai itu kepada Lim dalam sampul surat di bangunan Komtar.
Semalam, Zarul memberitahu mahkamah beliau memberi Lim RM200,000 lagi – pada Ogos 2013 dan Januari 2014 – bagi “memenuhi” sebahagian janjinya untuk memberi 10% bahagian daripada hasil keuntungan projek itu.
Lim dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk meminta Zarul 10% bahagian daripada hasil keuntungan projek terowong dasar laut, dan menerima RM3.3 juta sebagai sogokan daripada ahli perniagaan itu.
Beliau juga didakwa atas dua tuduhan dengan curang menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada dua syarikat.
Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung pada 27 Jun.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram