HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

3 ditahan, 22 tabung kutipan derma dirampas di Seremban

-

Operasi hasil maklumat orang awam itu mendapati kutipan derma tanpa kebenaran itu dibuat pusat tahfiz tempatan dan madrasah di selatan Thailand.

440
Shares
Total Views: 3,122
Free Malaysia Today
Umat Islam yang ingin membuat kutipan derma dinasihati meminta kebenaran terlebih dahulu daripada pihak Majlis Agama Islam negeri, menurut Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

PETALING JAYA:
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) menahan tiga individu dan merampas 22 tabung kutipan derma menerusi operasi khas di Seremban pada Isnin lalu.

Op Tabung yang membabitkan 15 penguat kuasa Jheains itu dijalankan di 10 premis di kawasan bank dan di hadapan pasar raya sekitar Senawang, Ampangan dan Sikamat di negeri itu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jheains, Nik Azlan Nik Man berkata, operasi hasil maklumat orang awam itu mendapati kutipan derma tanpa kebenaran itu adalah daripada pusat tahfiz tempatan dan madrasah di selatan Thailand.

“Ini merupakan operasi pertama seumpamanya dijalankan tahun ini dan akan dibuat secara berterusan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Tiga individu ditahan di bawah Seksyen 106(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 yang memperuntukkan denda RM3,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nik Azlan menasihatkan umat Islam yang ingin membuat kutipan derma supaya meminta kebenaran terlebih dahulu daripada pihak Majlis Agama Islam negeri.

“Bukan pihak berkuasa mahu menghalang buat kutipan, tetapi perlulah ikut peraturan dan mohon kebenaran, kemudian urusan kutipan duit itu juga mestilah ikut peraturan, iaitu mesti ada resit dan laporan.

“Kami hanya mahu masyarakat berdisiplin dan operasi juga bertujuan mengawasinya kerana ada kes pengutip derma melakukan penipuan, dengan kutipan tersebut digunakan untuk tujuan peribadi.

“Ia juga bertujuan mengelakkan pelbagai masalah penyelewengan kewangan yang akan menyebabkan institusi agama Islam dipandang buruk oleh masyarakat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.