HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Sukan Komanwel: 6,500 atlet dirai dalam acara pembukaan penuh warna warni

-

Kira-kira 6,500 atlet daripada 72 negara dan wilayah mengambil bahagian pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan berlangsung sehingga 8 Ogos.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Kontinjen negara yang segak berbaju Melayu putih dan kebaya moden pendek berarak masuk ke Stadium Alexander, Perry Barr, Birmingham dalam acara pembukaan Sukan Komanwel edisi ke-22 itu. (Gambar Bernama)

BIRMINGHAM:
Sukan Komanwel Birmingham 2022, kini bermula dengan rasminya selepas acara perasmian penuh gilang-gemilang berlangsung di hadapan 30,000 penonton di Stadium Alexander, Perry Barr.

Acara pembukaan itu menerima sentuhan Martin Green yang bereputasi antarabangsa sebagai ketua acara Sukan Olimpik London 2012, lapor Bernama.

Pertunjukan yang penuh bertenaga itu dibahagikan kepada beberapa babak. Ia disertai dengan pertunjukan lampu hebat dan bunga api menakjubkan.

Dalam acara dua jam setengah itu, penganjur turut memberi penghormatan kepada Ratu Elizabeth II yang meraikan Jubli Platinumnya menandakan sambutan ke-70 tahun pemerintahannya, dengan berkongsi kisah keghairahan dan komitmen baginda terhadap Komanwel, bermula dengan ucapan Komanwel pertamanya sebagai seorang puteri raja muda.

Ia diikuti dengan kemunculan boneka gergasi yang mewakili tokoh sastera, pemuzik, dan saintis terkenal dalam sejarah, termasuk penampilan istimewa dari ikon ‘senyap’ di seluruh dunia, Charlie Chaplin.

Penonton kemudiannya mengalu-alukan kehadiran atlet dan pegawai, dengan tepukan gemuruh dan sorakan yang meriah, ketika mereka berarak ke dalam stadium, dengan Australia menjadi pasukan pertama masuk mengelilingi stadium, manakala Malaysia menjadi pasukan ke-42.

Kontinjen Malaysia, diketuai pemain skuasy wanita Aifa Azman dan atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin sebagai pembawa bendera, mengetuai 38 atlet dan pegawai termasuk chef de mission (CDM) Shahrul Zaman Yahya dan timbalannya Gerard Monteiro.

Semua ‘wira’ Malaysia berbaju Melayu putih dan kebaya moden pendek, menampilkan bunga kebangsaan bunga raya, yang diberi nafas baharu dengan abstrak batik lukisan tangan pereka tempatan.

Atlet terjun terbaik England Tom Daley merupakan antara atlet yang diberikan penghormatan untuk membawa baton, sebelum diserahkan kepada atlet berasal dari Birmingham yang merupakan bekas atlet heptatlon Denise Lewis.

Lewis kemudiannya menyerahkan baton yang mengandungi mesej daripada Ratu, kepada Prince of Wales Putera Charles, yang kemudiannya mengisytiharkan pembukaan Sukan Komanwel edisi ke-22.

Kira-kira 6,500 atlet daripada 72 negara dan wilayah mengambil bahagian pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan berlangsung sehingga 8 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.