HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Loke ‘terkejut’ Tengku Zafrul pilih Umno, bukan berkhidmat kepada Muhyiddin

-

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz sebelum ini menafikan mempunyai cita-cita politik, bagaimanapun dilantik sebagai bendahari BN Selangor menggantikan Jamal Md Yunos.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook tidak menyangka Tengku Zafrul Aziz akhirnya memilih Umno walaupun dibawa masuk dalam kerajaan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR:
DAP sinis terhadap tindakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menyertai Umno serta dilantik sebagai bendahari BN Selangor bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dengan nada menyindir, berkata beliau beranggapan bahawa bekas menteri Perikatan Nasional (PN) itu “berkhidmat untuk Muhyiddin Yassin”.

“Terpulang, hak masing-masing. Sebelum ini saya ingat Tengku Zafrul berkhidmat kepada Muhyiddin Yassin, jadi saya terkejut juga dia memilih Umno,” sindirnya dalam sidang media pelancaran NFT Langkah Sheraton untuk dana PRU15, di Bukit Jalil.

Loke berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan BN menamakan Zafrul sebagai bendahari baru gabungan itu menggantikan Jamal Md Yunos.

Tengku Zafrul yang dikenali sebagai tokoh perbankan, dibawa menyertai kerajaan atas kapasiti sebagai anggota Dewan Negara selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui ‘Langkah Sheraton’, kira-kira dua tahun lalu.

Beliau kemudian menjadi pilihan bagi menggalas jawatan menteri kewangan oleh Muhyiddin dalam pentadbirannya sebagai perdana menteri.

Menteri kewangan itu sebelum ini dianggap tidak berparti sehingga keahliannya dalam Umno disahkan, pada Mei.

Zafrul dilaporkan mengintai peluang bertanding di Parlimen Kuala Selangor, pada pilihan raya umum akan datang.

Hasratnya untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai ‘daerah angkat’ Kementerian Kewangan mengundang kritikan.

Jelas Zafrul, rancangannya itu supaya daerah berkenaan dapat dimajukan semaksimum mungkin seiring dengan projek pembinaan stesen Jajaran Utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam.

Zafrul bagaimanapun menafikan mempunyai cita-cita politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.