Anwar gesa Najib, Zahid, Hisham tampil beri penjelasan berhubung skandal LCS

Anwar gesa Najib, Zahid, Hisham tampil beri penjelasan berhubung skandal LCS

Presiden PKR itu berkata, kes itu tidak boleh sewenang-wenangnya ditutup tanpa penjelasan dan jawapan sewajarnya.

(Dari kiri) Bekas perdana menteri Najib Razak, bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi dan menteri pertahanan Hishammuddin Hussein digesa menjelaskan penglibatan mereka dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS).
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa supaya bekas perdana menteri Najib Razak, bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi tampil memberikan penjelasan mengenai pembabitan mereka dalam skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

Anwar turut menggesa Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein untuk memberi maklum balas sama berhubung perkara itu.

Beliau berkata, kes tersebut tidak boleh ditutup dengan mudah, sambil meminta pihak yang terlibat tampil memberi penjelasan tentang sebab projek perolehan LCS bernilai RM 9 bilion dilakukan tanpa tender.

“Siapakah yang putuskan? Bekas perdana menteri Najib, bekas menteri pertahanan Zahid Hamidi serta Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein perlu menjawab persoalan ini.” katanya menerusi siaran video di Facebook.

Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menggesa barisan kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan (Kementah) dan ketua turus angkatan tentera, laut, udara dan darat supaya memberi peranan yang lebih menentukan mutu perolehan angkatan tentera.

Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) mengabaikan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

Wong berkata, tiada satu kapal pun yang berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek tersebut, yang dikurniakan kepada BNS melalui tender terbuka.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein selepas itu berkata, pihak yang terlibat dalam salah laku berkenaan akan dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata, SPRM sedang menjalankan siasatan kes itu.

MBekas menteri pertahanan Mohamad Sabu dan bekas timbalannya dan Liew Chin Tong turut menggesa sidang khas Parlimen untuk menyelesaikan isu itu dan meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengadakannya awal bulan depan.

Dua hari lalu, Anwar juga mengingatkan menteri pertahanan jangan menggunakan alasan “keselamatan negara” dalam projek LCS.

Katanya, mengulas berhubung ketiadaan satu pun kapal terbabit diserahkan kepada tentera laut selepas RM6 bilion dibelanjakan selain menyifatkan alat ketenteraan dan pertahanan boleh “dirompak” dan “diambil komisen”.

Sementara itu, beliau turut mengalu-alukan langkah bekas Panglima Tentera Laut Abdul Aziz Jaafar yang pernah meluahkah kebimbangan mengenai isu projek LCS tetapi tidak diendahkan oleh ahli politik yang hanya mengutamakan kepentingan diri berbanding keperluan pertahanan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.