
Duta Besar Hermono berkata, peguam yang dilantik oleh konsul republik itu di Tawau, Heni Hamidah, akan bekerjasama dengan peguam yang disediakan oleh Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Perusahaan Kayu Sabah (STIEU) Engrit Liaw.
“Peguam kami dan peguam Engrit akan menyelaraskan cara terbaik untuk mempertahankan kepentingan Sabri,” katanya kepada FMT.
“Kedutaan Indonesia dan konsulat sedang mengendalikan kes Sabri. Pihak (konsulat) Tawau sentiasa merujuk kepada saya dan juga kementerian luar di Jakarta untuk mencari penyelesaian menegakkan keadilan bagi Sabri.”
Hermono berkata, pihak konsulat juga sedang cuba mendapatkan pas khas bagi Sabri daripada Jabatan Imigresen di Sabah kerana pas kerjanya tamat tempoh dua hari lalu.
Rabu lepas, FMT melaporkan bahawa Sabri sedang cuba mendapatkan inkuiri awam selepas dipenjarakan secara salah dan disebat kerana didakwa tidak mempunyai pas kerja yang sah.
Dia ditahan April lalu dan dijatuhi hukuman penjara 11 bulan beserta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Sementara menunggu rayuannya didengar, dia disebat di penjara Tawau pada 23 Jun.
Mahkamah Tinggi Tawau membebaskan Sabri pada Julai selepas peguamnya berjaya membuktikan dia memiliki pasport Indonesia yang sah dan pas kerja daripada majikannya, Fu Yee Corp.
STIEU mengemukakan petisyen kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa inkuiri awam diadakan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram