HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Sorotan ringkas rayuan SRC International Najib

-

Pihak pendakwaan dijangka meneruskan hujahannya apabila mahkamah bersidang pagi ini.

133
Shares
Total Views: 14
Free Malaysia Today
Rayuan terakhir Najib Razak di Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan dan hukumannya dalam perbicaraan rasuah SRC International diteruskan.

PETALING JAYA:
Lebih banyak berita mengejutkan dijangkakan hari ini, tetapi buat masa ini, berikut adalah imbasan kes rasuah SRC International setakat ini.

Najib Razak, perdana menteri keenam yang memegang jawatan itu lebih sembilan tahun mulai 2009 hingga 2018, dan kerajaannya disingkirkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) selepas gagal menahan tindak balas daripada kemelut 1MDB, ditahan pada 3 Julai 2018.

Keesokannya, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International, yang ketika itu anak syarikat 1MDB.

Beliau juga berdepan tiga lagi tuduhan pengubahan wang pada 8 Ogos tahun sama.

Selepas perbicaraan selama 79 hari antara 3 April 2019 hingga 11 Mac 2020, yang menyaksikan 86 saksi memberi keterangan, Najib pada 28 Julai 2020 disabitkan bersalah oleh hakim perbicaraan Nazlan Ghazali atas semua tuduhan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Nazlan kemudian mengeluarkan penghakiman bertulis setebal 801 muka surat yang menjelaskan keputusannya.

Najib membuat rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu, dan pada 8 Dis 2021, selepas perbicaraan selama 15 hari, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan merangkumi hakim Abdul Karim Abdul Jalil, Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi. Alasan mereka terkandung dalam penghakiman bertulis setebal 317 muka surat.

Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada hari sama, dan pada 25 April tahun ini, beliau memfailkan petisyen rayuan memetik 94 perkara yang didakwanya sebagai kesilapan undang-undang dan fakta yang dibuat Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya.

Tidak lama kemudian, Mahkamah Persekutuan menetapkan rayuan bekas perdana menteri itu untuk pendengaran dari 15 hingga 26 Ogos ini.

Pada 31 Mei lalu, peguam diraja dari United Kingdom, Jonathan James Laidlaw memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mewakili Najib dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan. Permohonan itu ditolak pada 21 Julai.

Dalam pada itu, pada 10 Jun lalu, Najib memfailkan usul untuk mengemukakan bukti baharu bagi menunjukkan Nazlan patut menarik diri atas konflik kepentingan serius yang melanggar haknya untuk perbicaraan adil. Najib memohon perbicaraan semula kes itu di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

Pada 25 Julai, atas sebab yang dijelaskannya dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Najib melantik firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners sebagai peguam caranya menggantikan Shafee & Co, dengan Hisyam Teh Poh Teik menggantikan Shafee Abdullah sebagai peguam utama.

Keesokannya, peguam cara baharunya menulis surat kepada Mahkamah Persekutuan memohon penangguhan rayuan, yang tinggal tiga minggu lagi. Permintaan itu ditolak mahkamah tertinggi secara bertulis dan ketika pengurusan kes tiga hari kemudian.

Usul untuk mengemukakan bukti baharu didengar pagi Isnin dan Selasa lalu. Pada tengah hari Selasa, mahkamah tertinggi sebulat suara menolak usul itu.

Hisyam kemudiannya memohon penangguhan pendengaran rayuan itu, tetapi ia ditolak Mahkamah Persekutuan pada petang Selasa. Dalam sidang media selepas prosiding berakhir hari itu, Najib, Hisyam dan peguam bersama, Zaid Ibrahim menyuarakan kekecewaan terhadap pendirian mahkamah.

Ketika kes itu dibicarakan semalam, Hisyam yang sepatutnya membentangkan hujahnya memohon maaf kepada mahkamah dan memohon untuk menarik diri sebagai peguam utama. Permohonan itu ditolak mahkamah tertinggi dan peguam utama serta pasukannya diarahkan terus mewakili Najib.

Disebabkan Hisyam tidak dapat berhujah secara lisan, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat bertanya sama ada beliau mahu bergantung kepada penghujahan bertulis yang difailkan peguam cara terdahulu di mahkamah rendah. Hisyam setuju berbuat demikian.

Ketua hakim negara kemudian meminta Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram membentangkan hujah responden.

Selepas makan tengah hari, Hisyam memberitahu mahkamah bahawa beliau berhasrat memfailkan “penghujahan bertulis baharu”.

Selepas prosiding berakhir hari itu, Najib dan Hisyam mengadakan sidang media bersama. Najib menyuarakan bantahannya terhadap cara prosiding itu dikendalikan yang menyebabkan beliau seolah-olah tiada peguam dan tidak mampu membela dirinya di mahkamah, sambil menambah “hak untuk hidup, kebebasan dan perbicaraan adil di hujung tanduk”.

Pihak pendakwaan dijangka meneruskan hujahannya apabila mahkamah bersidang pagi ini.

Turut bersidang bersama Tengku Maimun ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim serta Mohamad Zabidin Diah.

Pasukan peguam Najib juga termasuk peguam Liew Teck Huat dan Ruben Mathiavarnam.

Sithambaram, yang mengetuai pendakwaan di bawah lesen khas yang dikeluarkan peguam negara, dibantu Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho Kheng Fuei dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.