HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Pastikan wasiat dibuat sah supaya tak bebankan keluarga

-

Mempunyai wasiat yang tidak sah sama seperti tidak mempunyai wasiat langsung kerana mahkamah tidak akan mengiktirafnya, kata Presiden MIEP See Kok Leong.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Presiden MIEP See Kok Leong menyarankan agar orang ramai mula membuat wasiat sebaik sahaja mereka mempunyai aset atau keluarga, atau apabila masuk usia 30 tahun. (Gambar Freepik)

PETALING JAYA:
Kira-kira 20% rakyat Malaysia mungkin mempunyai wasiat, tetapi tidak dapat dijamin ia sah, kata Malaysian Institute of Estate Planners (MIEP).

Presiden MIEP See Kok Leong berkata, wasiat yang tidak sah biasanya dibuat pewasiat sendiri, yang mungkin tidak mengetahui apa yang dikehendaki dari segi undang-undang untuk menjadikannya sah.

Wasiat menjadi tidak sah apabila tiada saksi hadir semasa wasiat ditandatangani, atau dokumen itu tidak bertarikh.

“(Ia) sama seperti tidak mempunyai wasiat kerana mahkamah tidak akan mengiktirafnya,” kata See.

Penerima tidak akan dapat mengesahkan lokasi aset seseorang dan wasiat itu boleh bercanggah dengan klausa undang-undang tertentu.

“Terdapat insiden perkongsian perniagaan jatuh ke tangan ahli keluarga yang tidak biasa (menguruskannya), atau tiada penjaga bagi kanak-kanak bawah umur,” katanya kepada FMT.

Walaupun dapat disaksikan menerusi kemunculan wabak Covid-19 bahawa tiada kumpulan umur yang kebal terhadap virus itu, kebanyakan orang masih belum menyediakan wasiat dan amanah kerana percaya mereka masih terlalu muda untuk berbuat demikian, katanya.

“Jika anda tiada wasiat atau amanah, anda hanya akan menyusahkan ahli keluarga. Jika tiada wang yang terlibat, tidak apalah. Tetapi jika membabitkan wang, mereka akan bergaduh (sesama sendiri),” katanya.

Beliau berkata, hanya kira-kira satu perlima rakyat Malaysia telah menyediakan wasiat dan ini mungkin menyebabkan jumlah wang tidak dituntut terus meningkat.

“Orang ramai harus mula buat wasiat sebaik sahaja mereka mempunyai aset atau keluarga, atau dari usia 30 tahun ke atas,” katanya.

Untuk menggalakkan orang ramai menyediakan wasiat, MIEP sedang mengusahakan cadangan pelepasan cukai sekali sahaja, kira-kira RM500, bagi pembuatan wasiat, yang akan dimasukkan dalam belanjawan 2023.

“Pada masa ini, tiada insentif seperti itu,” katanya.

Institut itu kini menjalankan pelbagai aktiviti sempena Minggu Wasiat Malaysia sehingga 9 Sept. Antara aktiviti yang dijalankan ialah ceramah dengan kerjasama organisasi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan lain-lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.