Baharudin Ahmad di NB Poultry Processing Industries, berkata Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran (CME) “tidak faham” mengenai ayam dan menyifatkan tindakan kerajaan itu betul.
“Kalau orang faham tentang ayam, dia tak akan komen begitu.
“Kerajaan Singapura yang akan tentukan juga ladang mana yang boleh dan tidak boleh untuk menerima eksport ayam. Mereka akan buat tapisan,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Carmelo mengkritik rancangan kerajaan untuk hanya membenarkan ladang ayam tertentu mengeksport produk mereka dan menyifatkannya sebagai “merepek”.
Carmelo berkata, kerajaan tidak seharusnya mengenakan sekatan terhadap penternak kerana pasaran ayam bersifat dinamik.
Pada 29 Ogos, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Inflasi Annuar Musa, mengumumkan bahawa larangan eksport ayam akan ditarik balik pada Oktober, namun hanya ladang tertentu akan dibenarkan menternak ayam untuk dieksport.
Annuar berkata, langkah itu demi memastikan bekalan ayam cukup untuk pasaran domestik.
Bagaimanapun, kata Carmelo, mengehadkan bilangan pengeluar yang menternak ayam untuk dieksport tidak semestinya menjamin bekalan mencukupi untuk pasaran domestik atas pelbagai faktor.
Dalam pada itu, Baharudin berkata, tindakan hanya membenarkan ladang terpilih tepat memandangkan eksport ayam ke Singapura juga amat ketat.
Katanya, sebelum ini juga bukan semua ladang boleh mengeksport ayam ke Singapura.
Tambahnya, sebelum ini bekalan ayam kurang hanyalah disebabkan kekurangan pekerja untuk menternak ayam.
Katanya, kini pekerja di ladang ayam juga sudah mencukupi dan tiada gangguan bekalan ayam berlaku.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram