HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kanak-kanak 2 tahun antara 3 sekeluarga maut nahas dekat Tangkak

-

Turut maut, ibu dan nenek susulan pertembungan antara tiga kenderaan di Jalan Muar-Segamat.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Kejadian berlaku selepas kenderaan dinaiki semua mangsa dilanggar sebuah kereta yang yang mahu memotong yang masuk ke laluan bertentangan, kata Ketua Polis Tangkak Mohd Fadhil Minhat. (Gambar Facebook)

TANGKAK:
Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun antara tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di KM44.5 Jalan Muar-Segamat, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Tangkak Mohd Fadhil Minhat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian melibatkan dua kereta Perodua Myvi berwarna hitam dan kelabu serta sebuah kereta Mazda itu, pada 3.50 petang.

Beliau berkata, Aarish Ammar Harunarashid, meninggal dunia di Hospital Tangkak manakala ibunya, Nor Haliza Hamzah, 36, dan neneknya Siti Fatimah Ladri, 71, maut di tempat kejadian.

Bapa kanak-kanak itu, Harunarashid Ghazali, 34, cedera ringan dan dirawat di hospital sama.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi berwarna hitam dinaiki keempat-empat mangsa dari arah Tangkak menghala ke Segamat, dilanggar Perodua Myvi warna kelabu (arah bertentangan) yang mahu memotong sebuah kenderaan lain di hadapan, sebelum terbabas lalu masuk ke gaung.

“Kereta dinaiki empat sekeluarga itu kemudian dipercayai berpusing dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Mazda yang cuba mengelak namun terlanggar bahagian belakang kereta mereka,” katanya dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta Myvi kelabu serta pemandu Mazda dilaporkan selamat.

Proses bedah siasat jenazah ketiga-tiga mangsa dilakukan di Hospital Tangkak dan kes disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi Bomba K Kumar, berkata pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan Siti Fatimah yang tersepit di dalam kereta manakala Nor Haliza dikeluarkan oleh orang awam sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, operasi menyelamat yang melibatkan 15 anggota berserta dua jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) tamat sepenuhnya, kira-kira 4.40 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.