HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Banjir di Baling rekod kerugian RM28 juta, kata MB Kedah

-

Sanusi Md Nor berkata kerugian itu melibatkan kemusnahan rumah, premis, infrastruktur, kenderaan dan harta benda yang lain.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Sanusi Md Nor berkata banjir di Baling pada 4 Julai lalu mengakibatkan kerugian sebanyak RM28 juta  (Gambar Bernama)

ALOR SETAR:
Nilai kerugian akibat bencana banjir lumpur dan aliran puing di daerah Baling pada 4 Julai lalu dianggarkan berjumlah RM28 juta, kata Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, kerugian itu melibatkan kemusnahan rumah, premis, infrastruktur, kenderaan dan harta benda yang lain.

“Anggaran kerugian dalam kejadian banjir itu dilakukan oleh Jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diwujudkan oleh Pejabat Daerah Baling. Seramai 80 pembanci dilantik untuk turun ke setiap rumah bagi membuat bancian kerugian.

“Bancian itu dibuat berdasarkan lebih 900 laporan polis yang diterima berhubung kejadian itu. Bagi kejadian banjir kali kedua pada hujung Julai pula, kita masih belum menerima jumlah keseluruhan kerugian yang ditanggung oleh penduduk,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Kejadian banjir pada 4 Julai lalu, mengakibatkan 41 kawasan terjejas di samping mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang ibu hamil berusia 23 tahun.

Sementara itu, Sanusi berkata, proses pengambilan tanah untuk memindahkan 17 rumah yang terletak dalam ‘zon kuning’ di sepanjang jajaran Sungai Kupang yang berisiko sekiranya berlaku banjir lagi, telah bermula.

“Kita telah mulakan proses pengambilan tanah untuk membina 17 rumah baharu di Kampung Seniyek buat penduduk yang berada di zon kuning, dan diharapkan ia dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kita tahu penduduk di kawasan berkenaan bimbang setiap kali hujan lebat.

“Akibat kejadian banjir pertama dahulu, satu aliran air telah terbentuk di sungai itu, jadi kalau hujan lebat air memang akan lalu di aliran berkenaan kerana tiada laluan lain,” katanya.

Tambah beliau, kejadian banjir kali ketiga yang berlaku pada 6 Sept lalu menyebabkan Jambatan Bailey yang dibina rosak akibat sampah dan kayu tersangkut.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya segera membaiki jambatan itu dan semeter dari kedudukan asal kerana didapati terlalu rendah, bagi mengelak sampah dan kayu tersangkut.

“Jambatan itu telah ditinggikan dan dalam tempoh empat hari dah siap, dan boleh digunakan semula oleh penduduk Ahad lalu. Saya harap dengan keadaan hujan yang tidak menentu ini tidak akan berlakunya lagi banjir dan usaha-usaha sedang dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran mendalamkan dasar sungai dan memperkukuhkan tebing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.