HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Veteran British berjaya jejak kaki ke Kem Terendak, berterima kasih pada Hisham

-

Bekas tentera British yang berkhidmat di kem itu 60 tahun lalu, mahu menyelami pengalaman di Kem Terendak akhirnya dibenarkan masuk oleh Kementerian Pertahanan selepas berita mereka disiarkan FMT.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Frank Robinson (kiri) dan David Priestley melihat batu memperingati penyerahan Kem Terendak kepada Malaysia.

MELAKA:
Menjadi satu kenangan manis dan nostalgia yang tidak akan dilupakan buat veteran tentera British Frank Robinson, 80, dan David Priestley, 73, ketika kembali menjejak kaki ke Kem Terendak di Melaka selepas 50 tahun.

Meskipun hujan renyai-renyai ketika tiba di ibu pejabat Divisyen Ke-3 Infantri Angkatan Tentera Malaysia yang sudah berusia 64 tahun, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat bekas tentera itu, melawat beberapa tempat di sekitar kem yang dibina oleh British pada 1958 dan diserahkan kepada Malaysia pada tahun 1970.

Robinson dan Priestley bertugas di kem itu dan di Johor War School, Kota Tinggi, yang menjadi sebahagian daripada tentera Komanwel antara tahun 1961 dan 1969.

Malangnya, hasrat mereka untuk mengunjungi semula bekas kem mereka semalam terhalang apabila tidak dibenarkan masuk oleh pengawal kerana perlu mengikuti prosedur operasi standard, di mana memerlukan kebenaran bertulis daripada Kementerian Pertahanan.

Free Malaysia Today
Frank Robinson (kanan) dan David Priestley (dua dari kiri) bersama komander Divisyen Ketiga Mejar Jeneral Rashidin Hashimi Ab Rashid (tiga dari kiri). Wartawan veteran M Veera Pandiyan yang menulis nasib mereka di laman Facebooknya berada di sebelah kiri.

Bagaimanapun, pagi tadi, mereka mendapat berita baik apabila dibenarkan memasuki kem itu.

Nasib mereka yang dilaporkan FMT semalam menarik perhatian Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, yang telah mengarahkan pejabatnya untuk membantu memenuhi hasrat mereka untuk melawat kem itu dengan mempercepatkan kelulusan serta bantuan pihak atase pertahanan Pesuruhjaya Tinggi Britain.

Kedatangan bekas tentera British itu kemudiannya ditulis wartawan veteran M Veera Pandiyan dalam catatan Facebooknya.

Lawatan nostalgia mereka bermula di batu peringatan Terendak di pintu masuk kem, diikuti lawatan ke kuarters dan berek tempat tentera Komanwel ditempatkan dan tanah perkuburan di mana tentera yang terkorban dan ahli keluarga mereka dikebumikan.

Free Malaysia Today
Frank Robinson (tengah) dan David Priestley dihidangkan makan tengah hari oleh Komander Divisyen Ketiga Mejar Jeneral Rashidin Hashimi Ab Rashid.

Mereka juga melawat gereja Katolik Kem Terendak dan juga bangunan gereja Anglican lama tempat Robinson berkahwin, yang kini telah ditukar menjadi pusat senaman yang digunakan oleh pengajar latihan fizikal.

Mereka meninjau bangunan lama termasuk hospital kem tempat anak Robinson dilahirkan.

“Kami terharu dengan pertolongan menteri, panglima angkatan tentera, panglima tentera darat dan pihak berkenaan yang membantu dalam lawatan bersejarah ini kepada kami.

“Kami tidak pernah menjangkakan sambutan seperti itu. Kami menghargai semua bantuan mereka. Kami juga ingin mengucapkan selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia,” kata Robinson ketika ditemu bual oleh unit perhubungan awam kem itu.

Free Malaysia Today
Frank Robinson (depan) dan David Priestley membaca nama rakan seperjuangan mereka yang terkorban di batu peringatan Terendak.

Pada penghujung perjalanan selama dua jam yang penuh emosi itu, mereka disambut oleh Komander Divisyen Tiga Mejar Jeneral Rashidin Hashimi Ab Rashid, untuk makan tengahari.

Rashidin turut menyerahkan cenderahati berupa buku bertajuk “May 13 1969: A security perspective” yang ditulis oleh Dr Nordin Yusof dan diterbitkan oleh Kelab Pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja.

Robinson dan Priestley juga dijemput untuk menandatangani buku pelawat sebelum mereka meninggalkan kem berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.